MANCHESTER: Pep Guardiola optimis bahawa Manchester City masih berpeluang layak ke Liga Juara-Juara (UCL) meskipun mengakui beliau merasai tekanan yang semakin meningkat selepas sekadar seri 2-2 menentang Brighton, semalam.
Pemain City mensia-siakan peluang untuk kembali ke empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua kali berjaya mendahului Brighton, di Stadium Etihad.
Keputusan itu menyaksikan skuad Guardiola kini berada di tangga kelima manakala Chelsea yang berada di tangga keempat bakal beraksi menentang Arsenal hari ini.
Selepas meraih empat kali berturut-turut meraih gelaran liga, kedudukan itu adalah sesuatu yang luar biasa bagi pemain dan penyokong City, dengan Guardiola berkata wujud rasa bimbang ketika ini.
“Ya, sememangnya semua orang merasai tekanan. Tetapi, inilah realitinya. Kami perlu bermain dengan lebih baik untuk bangkit kembali.
“Sudah tentu mereka merasainya ketika ini apabila keadaan tidak baik,” kata Guardiola.
Guardiola masih berharap dengan usaha mereka untuk layak ke UCL dan percaya tempat kelima juga berkemungkinan boleh layak namun bergantung pada keputusan kelab EPL dalam saingan Eropah musim ini.
“Saya sentiasa yakin, dalam hal ini saya seorang pakar. Memang ada masa saya boleh ragu, tetapi saya akan mencari jalan yang betul, mencari sisi positif dalam setiap perkara.
“Saya tahu ia akan sukar kerana banyak sebab tetapi kami ada sembilan perlawanan, sembilan final,” ,” jelasnya.
Pada masa sama, Guardiola tidak menyalahkan keputusan seri itu selepas jaringan penalti Erling Haaland dan jaringan Omar Marmoush disamakan oleh sepakan percuma Pervis Estupinan dan gol sendiri Abdukodir Khusanov.
“Prestasi kami jauh lebih baik daripada kekalahan di Nottingham Forest (0-1). Kami mencipta beberapa peluang yang baik tetapi mereka memiliki pemain yang hebat dan mereka mengawal kami dengan sangat baik,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










