Arif Aiman jangan tersilap langkah

Arif Aiman jangan tersilap langkah

ARIF Aiman Hanapi menarik perhatian beberapa kelab di luar negara. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi boleh ke luar negara tetapi dengan syarat menyertai pasukan lebih besar berbanding Harimau Selatan.

Tindakan menyertai pasukan kurang ternama di luar negara hanya merugikan bakat Arif Aiman kerana pemain sayap Harimau Malaya itu sememangnya berada dalam kelas tersendiri di JDT.

Bekas penyerang kebangsa­an, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, pemilihan kelab sangat pen­ting untuk Arif Aiman jika beliau benar-benar ingin mengembangkan bakat ke luar negara.

“Saya rasa Arif Aiman boleh ke luar negara jika pasukan luar itu contohnya di Asia kelab dari Korea Selatan atau Jepun yang pres­tasinya lebih baik berban­ding JDT.

“Bersama JDT, Arif Aiman dapat minit permainan yang ba­nyak, jadi pemain utama dan dia juga beraksi di ACLE (Liga Juara Juara Asia Elit (ACLE) serta mampu menja­ringkan gol.

“Sebab itu jika mahu ke luar negara, Arif Aiman kena pilih untuk beraksi dengan kelab yang lebih besar dan lebih baik berbanding JDT ketika ini.

“Kalau pergi ke kelab Korea atau Jepun, kelab itu mesti beraksi di ACLE, dia sudah ada level itu atau pergi ke Eropah yang lebih baik dan bukannya kelab kerdil dan yang penting beraksi sebagai pemain utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kelabnya tidak pernah menghalang untuk mana-mana pemain meninggalkan skuad Harimau Selatan termasuk Arif Aiman.

Terdahulu, nama Arif Aiman hangat di benua Asia apabila dikaitkan dengan beberapa kelab yang dilaporkan berminat mendapat khidmatnya termasuk Jeonbuk Hyundai dari Korea Selatan dan dua kelab Iran membabitkan Persepolis serta Tractor FC.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, Arif Aiman berhak membuat keputusan mengenai masa depannya namun beliau yakin dia cukup gembira bersama JDT yang mana pemain sayap itu dapat menjuarai pelbagai trofi di samping beraksi di tahap tertinggi di saingan ACLE.

Tunku Mahkota Ismail turut menasihatkan Arif Aiman supaya tidak membuat keputusan ter­buru-buru seperti mana kesilapan dilakukan Safawi Rasid yang memilih beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC pada 2020.

Perpindahan Safawi ke Portimonense SC hanya bertahan selama tiga bulan sebelum dia kembali ke JDT ekoran kesukaran menyesuaikan diri selain tidak mendapat tempat dalam pasukan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×