MONTEVIDEO: Argentina hampir pasti berada di Piala Dunia 2026 selepas gol tunggal Thiago Almada membolehkan mereka menang 1-0 ke atas Uruguay di Estadio Centenario, semalam.
Penyandang juara dunia itu awalnya diramal bakal menamatkan perlawanan dengan keputusan seri selepas mendapat tentangan sengit Uruguay yang menewaskan Argentina 2-0 di Buenos Aires pada aksi awal kempen kelayakan tersebut.
Pada aksi itu, Almada, 23, menahan bola sebelum melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti ke penjuru kanan gol yang gagal diselamatkan penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet pada minit ke-68.
Argentina bagaimanapun, terpaksa mengakhiri permainan dengan 10 pemain apabila Nicolas Gonzalez dibuang padang selepas mengasari pertahanan Uruguay, Nahitan Nandez pada penghujung perlawanan.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, memuji tindak balas pasukannya selepas kehilangan khidmat Lionel Messi akibat kecederaan.
“Saya sangat berpuas hati, bukan sahaja kerana keputusan, tetapi kerana mereka memberikan segalanya. Kepuasan datang daripada fakta bahawa pasukan bermain dengan bagus.
“Apabila seorang pemain tiada, pemain lain menggantikannya. Kami mempunyai cukup kekuatan untuk turun ke padang,” kata Scaloni selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu, menyaksikan Argentina mampu menjadi pasukan pertama dari Amerika Selatan yang menempah tiket ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico jika mereka berjaya menewaskan seteru utama, Brazil, dalam perlawanan di Buenos Aires, Rabu ini.
Juara dunia itu kini mendahului saingan kelayakan Amerika Selatan yang membabitkan 10 pasukan dengan 28 mata daripada 13 perlawanan, enam mata di hadapan Ecuador di tempat kedua, manakala Brazil di tangga ketiga dengan 21 mata. – AFP/UTUSAN










