MADRID: Pep Guardiola mengakui Manchester City perlu dibina semula selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Hatrik bintang Real Madrid, Kylian Mbappe membantu Los Blancos mencatat kemenangan 3-1 ke atas City di Stadium Santiago Bernabeu itu, semalam sekali gus mara ke pusingan 16 terakhir menerusi agregat 6-3.
Ketika Mbappe mencipta sensasi dalam perlawanan kedua playoff itu,skuad City bergelut dengan masalah prestasi yang menyaksikan mereka melepaskan dua gol lewat ketika tewas 3-2 dalam aksi pertama di tempat sendiri minggu lalu.
Ia kali ketiga dalam empat musim City disingkirkan gergasi Sepanyol itu tetapi kali pertama sejak Guardiola menyertai kelab berkenaan pada 2016, juara Inggeris itu juga gagal mara ke peringkat 16 terakhir.
Kedua-dua pasukan diundi untuk berdepan lebih awal dalam pertandingan kali ini dengan City menduduki tangga ke-22 daripada 36 pasukan dalam fasa liga.
“Pasukan yang lebih baik menang. Kami mengalami tahun yang buruk dalam pertandingan. Jika menduduki tempat ke-22, ia kerana kami tidak bagus. Ia adalah tahun terburuk kami,” kata Guardiola kepada stesen TV Sepanyol Movistar.
Kecederaan memainkan peranan penting dalam perjuangan City musim ini yang mana Erling Haaland tidak diturunkan dari bangku simpanan di Santiago Bernabeu kerana kecederaan lutut manakala John Stones terpaksa diganti dalam tempoh 10 minit pertama.
Guardiola berkata, pembinaan semula skuad itu sudah bermula apabila City membelanjakan 170 juta pound (kira-kira RM948 juta) untuk membawa Omar Marmoush, Nico Gonzalez, Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis ke kelab itu ketika jendela perpindahan pertengahan musim.
“Ia perkara biasa. Tiada apa yang kekal selama-lamanya dan dalam kumpulan itu terdapat pemain yang sudah menandakan satu era.
“Kami tidak boleh menafikan apa yang sudah dilakukan oleh kumpulan pemain ini, memenangi enam Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun.
“Bagi saingan Eropah, sentiasa layak ke suku akhir, separuh akhir, final. Ia menceritakan banyak perkara mengenai apa yang kami sudah lakukan,” katanya.
Sementara itu, Mbappe lega kerana dapat menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong Real dengan kemenangan ini dan berharap mampu mengekalkan prestasi terbaik untuk perlawanan akan datang.
“Kami mahu menang dan layak ke peringkat seterusnya kerana bagi kami, Real Madrid memang patut berada di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
“Kami tahu bahawa kami kuat di laman sendiri dan kami bermain sebagai satu pasukan dengan corak permainan terbaik. Kami membuat peminat Madrid amat gembira.
“Saya berkata (sebelum ini), saya tidak datang ke Real Madrid untuk bermain dengan teruk. Menjadikan impian saya menjadi kenyataan adalah satu aspek, namun saya mahu bermain dengan baik di sini, menandakan satu era dan mencipta sejarah di Real Madrid,” kata Mbappe. – AFP/UTUSAN











