Simbolik kavadi dalam membayar nazar

Simbolik kavadi dalam membayar nazar

KAVADI pelbagai bentuk, saiz dan warna yang dibawa orang Hindu semasa Thaipusam untuk membayar nazar. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA sambutan Thaipusam oleh penganut Hindu masih terasa kemeriahannya di beberapa kuil di seluruh negara. Antara lokasi tumpuan ramai sejak lebih seminggu lalu ialah di Batu Caves, Selangor serta beberapa kuil Dewa Murugan di Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Perayaan Thaipusam juga sejak dahulu mempamerkan semangat bertolak ansur penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Orang bukan beragama Hindu menghormati serta memberi laluan kepada upacara keagamaan tahunan ini supaya dapat dijalankan dengan lancar.

Selain daripada pakaian serba kuning oleh penganut, satu lagi daya tarikan ialah kavadi pelbagai bentuk, saiz dan warna yang dibawa orang Hindu untuk membayar nazar.

Dalam Kamus Dewan, kavadi dihuraikan sebagai benda berhias yang diusung pada sebelah bahu oleh penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam untuk memuja Dewa Subramaniam.

Untuk makluman, dewa berkenaan dikenali dengan pelbagai nama seperti Kartikeya, Kumaran, Shanmugam, Velan dan Khandan. Kisah Dewa Murugan ada saya huraikan secara terperinci dalam buku Khanda Puranam (2022).

Maklumat mengenai sejarah, asal usul dan simbolik perayaan Thaipusam sudah diterangkan secara terperinci dalam buku Malaiur Manikam (2015) dan Mandala Bicara (2016).

Jadi, tumpuan pada kali ini khusus tentang pelbagai jenis kavadi yang dibawa oleh penganut Hindu, khususnya pada perayaan Thaipusam. Maklumat ini diharap membantu orang ramai memahami ciri dan keunikan setiap kavadi terbabit.

Ada cerita ‘purana’ tentang asal usul kavadi. Kononnya, seorang pendeta bernama Agastiar meminta pelajar atau pengikutnya bernama Idumban membawa dua bukit kepadanya sebagai tanda kesetiaan.

Idumban pula mencabut dua bukit itu dan diletak pada kedua-dua hujung kayu kandar yang kemudian digalas pada bahu. Perkataan kavadi itu sendiri membawa makna beban dalam bahasa Tamil.

Maka, secara simbolik, penganut yang mahu membayar nazar akan membawa beban kavadi pada bahu. Kavadi itu pula dibuat dalam pelbagai bentuk mengikut niat dan kemampuan masing-masing.

Kita biasa melihat penganut Hindu, khususnya wanita, menjunjung belanga pelbagai saiz berisi susu di atas kepala. Ia dinamakan paal kudam di mana kudam bermakna belanga.

Paal kavadi merupakan kavadi paling popular dalam semua perayaan di kuil Hindu. Paal ialah susu. Biasanya susu lembu diletak di dalam dua bekas kecil (kudam) yang diikat pula pada dua hujung kandar.

Kandar itu dibawa ke kuil dan susu yang dibawa diserah kepada sami atau petugas supaya boleh digunakan untuk memandikan berhala dewa-dewi. Agar kavadi berbentuk kandar tidak kelihatan terlalu kosong, maka dihias mengikut kreativiti. Itulah sebabnya kavadi biasanya berwarna-warni.

Bahan yang biasa digunakan untuk hiasan ialah bulu merak. Dalam purana Hindu, merak ialah wahana atau tunggangan Dewa Murugan. Tambahan pula, bulu merak sangat cantik dan sesuai dijadikan hiasan pada kavadi.

Jika banyak bulu merak digunakan untuk menghias kavadi, maka ia akan menjadi mayil kavadi di mana ‘mayil’ ialah merak. Kavadi jenis ini tidak hanya menggunakan kandar tetapi menggunakan rangka kayu atau besi yang lebih besar supaya dapat dihias lebih indah menggunakan lebih banyak bulu merak.

Apabila pembawa kavadi menari mengikut rentak muzik, maka mayil kavadi akan berayun-ayun dengan sangat cantik dan menarik.

Satu lagi jenis ialah paneer kavadi di mana kudam (belanga) yang dibawa berisi air mawar iaitu paneer. Air mawar memang biasa direnjis pada majlis perkahwinan orang Hindu. Air mawar yang dibawa menggunakan kavadi pula digunakan untuk memandikan berhala dewa-dewi.

Puspa kavadi mungkin dapat diagak kerana puspa bermakna bunga. Maka, kavadi dihiasi indah dengan bunga pelbagai jenis dan warna. Bunga memang selalu dijadikan persembahan kepada berhala di kuil dan di rumah.

Terdapat pula kavadi lebih besar dihias lebih gah menggunakan bunga, bulu merak, patung dewa dan pelbagai hiasan lain. Kavadi seperti ini dikenali sebagai alangara kavadi di mana alangara bermaksud berhias.

Tentu sahaja kavadi yang besar dan penuh hiasan akan menarik perhatian orang ramai. Namun begitu, apa yang paling penting adalah belanga kecil berisi susu yang dibawa bersama kavadi itu.

Satu lagi bentuk kavadi yang sangat menyentuh perasaan ialah karumbu kavadi. Sebagaimana namanya, ia diperbuat daripada tebu. Beberapa batang tebu diikat menjadi kandar.

Si suami akan meletak satu hujung pada bahunya manakala si isteri menggalas bahagian belakang. Pada batang tebu itu diikat buaian daripada kain warna kuning. Bayi berusia kurang daripada satu tahun diletakkan pada buaian itu.

Karumbu kavadi ada cerita tersendiri. Pasangan suami isteri Hindu yang belum ada anak akan bernazar di kuil. Maka, apabila bayi lahir, mereka membawa bayi itu dalam buaian khas ke kuil sebagai tanda berterima kasih kerana dikurniakan cahaya mata.

Satu lagi jenis kavadi tradisional yang semakin jarang kelihatan ialah thol kavadi. Rupanya hampir sama seperti paal kavadi tetapi ciri utama ialah kandar yang lebih besar dan bulat. Kavadi diletak secara bebas pada thol (bahu).

Seorang pembawa thol kavadi yang berpengalaman mampu menari dan melakukan pelbagai aksi menarik menggunakan bahunya tanpa memegang kavadi dengan tangan. Tentu sahaja kavadi jenis ini bukan untuk orang baharu.

Kita juga biasa melihat penganut Hindu menggunakan beberapa cangkuk kecil untuk mencucuk belakang badan. Pada cangkuk itu pula digantung belanga kecil berisi susu.

Bentuk kavadi ini yang dikenali sebagai kudam mullu kavadi tentu sahaja menggerunkan dan membuatkan orang ramai risau memikirkan aspek kesihatan dan keselamatan.

Sebenarnya, apa-apa bentuk kavadi yang ada unsur menyeksa diri merupakan inovasi baharu penganut Hindu.

Untuk mengetahui bentuk sebenar kavadi, sentiasalah merujuk cerita tentang Idumban yang mula-mula membawa kavadi berbentuk kandar.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×