PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui anak buahnya berjaya menyerap tekanan untuk menang 3-2 ke atas PDRM FC biarpun beraksi dengan 10 pemain.
Dalam aksi final pertama Piala Cabaran kelmarin,Selangor terpaksa beraksi 10 pemain kira-kira 80 minit permainan selepas Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah pada minit ke-11.
“Kami tahu kami harus berjuang selama 80 minit dengan 10 pemain sahaja. Pada separuh masa, kami berbincang dan sepakat untuk kembali seperti biasa ke dalam padang.
“Untuk membangkitkan semangat pemain, Saya menceritakan sejarah Selangor FC kepada mereka kerana setiap pemain ada sejarah sendiri yang membawa mereka ke tahap ini.
“Jika anda berada dalam situasi sukar, bagaimana anda akan bertindak balas? Inilah ujian yang diberikan kepada kami, dan kami telah berjaya menghadapinya,” kata Kinoshi.
Biarpun meraih bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik pada 22 Februari ini, Kinoshi menegaskan mereka perlu segera fokus kerana PDRM pastinya mahu bangkit mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
“Kemenangan ini sudah berlalu. Kami perlu bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya dan menunjukkan semangat pantang menyerah kepada penyokong kami dan semua yang bekerja untuk Selangor FC,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan pengadil yang memberikan kad merah terhadap Safuwan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), Kinoshi berkata, tiada siapa yang boleh mengubah keputusan itu.
“Dalam dunia bola sepak, jika pengadil memberikan kad merah, tiada siapa yang boleh mengubahnya. Kad merah adalah kad merah. Kami harus menerimanya dan bertindak balas dengan cara yang betul. Inilah ujian daripada sejarah yang perlu kami jawab,” katanya.
Mengulas persiapan untuk aksi timbal balik, Kinoshi mengakui terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki selain pasukan perlu bersedia dengan kehilangan Safuwan.
“Setiap pasukan ada kelemahan. Ada saat di mana pemain terkejut dan kehilangan fokus sehingga menyebabkan dua gol dibolosi. Ini yang perlu kami perbaiki agar tidak berulang. Namun, saya yakin mereka sudah faham dan bersedia untuk membetulkannya,” katanya. – UTUSAN











