Penyudah tumpul punca hoki tewas 

Penyudah tumpul punca hoki tewas 

Pemain skuad negara cuba menghalang lawan dari Iran dalam saingan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia, kelmarin. - IHSAN MHC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengakui kegagalan memanfaatkan peluang menjaringkan gol menyebabkan mereka terpaksa menerima kekalahan 3-0 kepada juara Asia, Iran dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia, semalam.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia mengakhiri saingan kumpulan di tangga tercorot selepas tewas ketiga-tiga perlawanan apabila dibelasah juara dunia tiga kali, Jerman 12-4 pada 3 Februari dan tewas 5-2 kepada juara Amerika Selatan, Argentina, Selasa lalu. 

Turun tanpa sebarang sasaran yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan kini skuad kendalian Rodzhanizam akan beraksi dalam penentuan tempat kesembilan hingga ke-12 dengan lawan seterusnya hanya diketahui selepas semua aksi peringkat kumpulan selesai.

“Memang kita ada peluang untuk menjaringkan gol tapi kita tidak ambil. Ini yang perlu diperbaiki oleh pemain apabila kita berpeluang menjaringkan gol, mereka perlu ambil, gunakan dengan sebaiknya.

“Kita akan lakukan rancangan sebaiknya untuk persiapan kita pada perlawanan tangga kesembilan hingga ke-12. Kita rasa pemain boleh lebih fokus hingga perlawanan terakhir pasukan dan kita mahukan yang terbaik daripada setiap pemain,” katanya.

Walaupun tewas kesemua perlawanan namun Rodzhanizam tetap berbangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh pemainnya dalam penampilan sulung negara di kejohanan tersebut.

“Kita dapat lihat mereka memberikan yang terbaik pada hari ini (semalam) perlawanan menentang Iran, perancangan yang kita buat, disiplin mereka di setiap suku, ini yang kita dapat lihat pada setiap pemain dalam pasukan.

“Suku demi suku, disiplin yang diberikan, fokus daripada suku pertama hingga keempat begitu baik, cuma ada beberapa kesilapan yang kecil yang kita dapat lihat sebelum ini, kesilapan yang begitu banyak dilakukan.

“Tetapi pada hari ini (semalam) pemain sudah kurangkan kesilapan yang kecil mereka dan kita dapat lihat permainan yang baik ditunjukkan oleh pasukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN