PETALING JAYA: Keputusan kelab China, Shandong Taishan menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada aksi terakhir, kelmarin memberi manfaat kepada wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melonjak ke tangga ketiga Zon Timur.
Kedudukan itu bergerak apabila semua perlawanan melibatkan Shandong Taishan dibatalkan termasuklah kutipan mata dan jumlah gol turut tidak dikira bagi penentuan kedudukan akhir dalam zon timur.
Bermakna, kemenangan Vissel Kobe ke atas Shandong Taishan tidak dikira dan mereka yang sebelum ini menghuni tangga ketiga dengan 16 mata jatuh ke tangga keenam, menolak JDT (14 mata) ke tangga ketiga dan Gwangju FC (14 mata) ke tangga keempat bagi kedudukan akhir zon timur.
Lebih menguntungkan JDT, mereka tidak kehilangan sebarang mata memandangkan skuad Harimau Selatan sebelum ini tewas 0-1 di tangan Shandong Taishan sekali gus kekal dengan 14 mata.
Perubahan itu turut menyebabkan lawan JDT akan turut bertukar di mana jika sebelum ini, mereka dijadual berdepan Gwangju FC pada aksi pusingan 16 terbaik yang akan bermula, bulan depan.
Situasi terkini menyaksikan skuad Harimau Selatan akan menentang wakil Thailand, Buriram United dalam perebutan tiket ke suku akhir ACLE musim ini.
Sementara, Gwangju FC pula akan berdepan Vissel Kobe berdasarkan kedudukan akhir yang diraih mereka pada peringkat kumpulan.
Perkara itu turut disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John ketika ditanya mengenai kemaskini kedudukan bagi Zon Timur seperti disiarkan di laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), adakah muktamat atau sebaliknya.
“Ya, ‘final standing’ (kedudukan muktamad). Kita akan memanjangkan kes ini (Shandong Taishan) ke jawatankuasa berkenaan,” kata Windsor.
Untuk rekod, aksi pusingan 16 terbaik akan berlangsung secara timbal balik tetapi apabila memasuki aksi suku akhir, separuh akhir dan akhir, hanya satu perlawanan dilangsungkan dengan aksi berpusat di Arab Saudi. – UTUSAN











