NILAI: Pelumba negara Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri akan mempertahankan pingat emas acara keirin dimenanginya tahun lalu pada Kejohanan Trek Asia 2025 (ACC) pada hari ini.
Meskipun cabaran kali ini lebih getir dengan kehadiran pelumba-pelumba elit dari seluruh Asia, atlet muda berusia 22 tahun itu enggan menjadikan situasi tersebut sebagai halangan, sebaliknya berusaha sebaik mungkin untuk berada di podium.
“Saya akui saingan kali ini lebih sukar kerana setiap negara menghantar pelumba terbaik mereka. Namun, saya tetap mahu memberikan aksi terbaik kerana keirin adalah acara kegemaran saya.
“Saya juga semakin yakin selepas berjaya meraih pingat dalam acara pecut, jadi harap keyakinan itu dapat diterjemahkan dalam perlumbaan keirin nanti,” katanya.
Pada edisi ACC 2024 di New Delhi, India, Izzah mencipta kejutan apabila berjaya meraih dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter ujian masa, sekali gus menamatkan kemarau emas negara selama 12 tahun dalam kejohanan berprestij itu.
Mengenai persaingan tahun ini, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tidak mahu meletakkan sasaran khusus tetapi tetap berharap mampu menamatkan saingan dengan kedudukan podium.
“Saya mahu menjadi lebih berani dan cuba memberi cabaran kepada pelumba-pelumba lain. Saya tahu ia bukan tugas mudah, tetapi saya sudah menjalani latihan keras bagi menghadapi kejohanan ini. Apa sahaja boleh berlaku di trek,” katanya. – UTUSAN










