Achik serlah potensi jaguh lebuh raya

Achik serlah potensi jaguh lebuh raya

Wan Abdul Rahman Hamdan tiba di garisan penamat perlumbaan Grand Prix Antalya di Turkiye, kelmarin. - IHSAN TERENGGANU CYCLING TEAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi Wan Abdul Rahman Hamdan menunjukkan beliau mampu mengisi kekosongan legenda pelumba berbasikal lebuh raya, Mohamed Harrif Saleh yang sudah menginjak ke usia 37 tahun tahun ini.

Kelmarin pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu memulakan musim 2025 dengan cemerlang apabila mengungguli perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 1.2, Grand Prix Antalya di Turkiye, kelmarin.

Abdul Rahman yang mesra disapa Achik menamatkan perlumbaan dalam masa 3:07:42 saat (s) sekali gus memintas Ramazan Yilmaz dari Konya Buyuksehir Belediye Spor dan Emre Kaplan dari CNC Cycling Team yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, dalam saingan pecutan ke garisan penamat.

Kemenangan ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan bagi pelumba kelahiran Terengganu tersebut yang mana sebelum ini beliau telah menunjukkan kemampuannya dalam beberapa perlumbaan, namun kali ini dia berjaya mencatat kemenangan yang lebih signifikan.

Pelumba berusia 26 tahun itu mengakui bahawa sokongan rakan sepasukan beliau sangat penting untuk memastikan dia berada di hadapan peloton sebelum membuat pecutan terakhir.

“Rakan sepasukan saya banyak membantu saya untuk bertahan dalam perlumbaan ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membantu saya berada di hadapan peloton untuk membuat pecutan terakhir.

“Saya sangat bersyukur dapat menamatkan perlumbaan ini di podium buat kali pertama di Turkiye,” kata Achik.

Untuk rekod, Abdul Rahman meraih tempat ketiga dalam peringkat kelima Tour of Thailand pada 2021, serta tempat ketiga dalam Tour of Batam di Indonesia tahun lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×