Timbang bersara jika gagal ke Sukan SEA Thailand   

Timbang bersara jika gagal ke Sukan SEA Thailand  

Khairul Hafiz Jantan (kanan) beraksi dalam acara kuartet 4x100 meter pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Morodok Techo. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, memberi bayangan akan mengakhiri kariernya sekiranya gagal melayakkan diri ke Sukan SEA Thailand pada Disember ini.  

Atlet berusia 26 tahun itu mengakui sering berdepan dengan masalah kecederaan yang membataskan prestasinya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Youtube Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Khairul yang diberi julukan ‘The Speedy Jantan’ berkata, beliau akan memberi fokus sepenuhnya untuk melayakkan diri ke Sukan SEA pada kejohanan Terbuka Malaysia tahun ini.  

“Saya tidak mahu memberi tekanan yang berlebihan kepada diri sendiri dan tidak terlalu mengharap ke Sukan SEA kerana saya tahu keadaan fizikal saya.

“Andai tidak dapat ke Sukan SEA kita bersara cara baik. Waktu itu sudah bersedia (untuk bersara), saya sudah 10 tahun berkelana dalam olahraga dan tiba masanya untuk pelapis mewakili Malaysia,” kata Khairul.

Khairul yang terpalit dengan kecederaan abdomen sejak Februari tahun lalu berjaya membuat kemunculan semula dengan meraih pingat perak pada acara 100 meter di Kejohanan Terbuka Sarawak Super Series pada November.

Katanya, beliau hampir menggantung kasut ‘spike’ ekoran reaksi tubuh badannya yang lemah tidak sama seperti zaman kemasyhurannya pada 2017.

“Bulan dua tahun lalu saya mengalami kecederaan dan lambat untuk pulih. Pelbagai proses pemulihan saya lalui kerana otot bawah perut saya itu koyak. Saya berehat selama enam bulan.

“Saya hampir berputus asa kerana orang ramai berkata saya tidak akan beraksi lagi apabila kecederaan di perut. Namun, keluarga saya sentiasa memberi sokongan. 

“Andai kata saya kekal dengan prestasi ini, saya akan menyertai pelbagai kejohanan untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Thailand,” katanya.

Untuk rekod, pada 2017, Khairul Hafiz mencipta sejarah apabila memenangi emas dalam acara reben biru pada Sukan SEA di Kuala Lumpur sekali gus mengakhiri penantian 14 tahun Malaysia untuk emas acara tersebut.  

Ketika itu, beliau mencatatkan masa 10.38 saat (s), menewaskan juara bertahan dari Filipina, Eric Cray (10.43s), manakala pelari Thailand Kritsada Nasuwun turut mencatatkan masa yang sama di tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×