Pemain Paraguay dalam radar JDT?  

Pemain Paraguay dalam radar JDT?  

Oscar Romero pernah beraksi bersama kelab gergasi Argentina, Boca Juniors. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Arkitek tengah skuad antarabangsa Paraguay, Oscar Romero dilaporkan menjadi sasaran Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Spekulasi skuad Harimau Selatan akan menandatangani khidmat Romero bertiup kencang sejak awal bulan ini selepas didedahkan oleh beberapa media Amerika Selatan menerusi laman sosial mereka.

Menerusi spekulasi yang didedahkan oleh wartawan terkemuka Amerika Latin, Bruno Pont, khidmat Romero diburu JDT selepas kontraknya berakhir secara rasmi dengan kelab Liga Brazil, Botafogo pada 31 Disember lepas.

“Kelab dari Malaysia, JDT difahamkan sudah membuat tawaran (kontrak) bernilai AS$2.5 juta (RM11.3 juta) kepada Oscar Romero. 

“Jumlah ini lebih tinggi daripada apa yang Cerro Porteno (kelab Liga Paraguay) tawarkan,” katanya baru-baru ini.

Kehadiran Romero yang kini berusia 33 tahun dijangka mengukuhkan lagi skuad kendalian Hector Bidoglio khususnya di posisi tengah bagi mengharungi tahun 2025.

Romero dianggap memiliki pengalaman luas dalam arena bola sepak antarabangsa kerana pernah menyarung jersi pasukan Shanghai Shenghua (Liga China), Alaves (La Liga) dan Boca Juniors (Liga Argentina).

Menerusi laman statistik bola sepak, Transfermarkt, nilai pasaran Romero kini mencecah 1.7 juta euro (RM7.9 juta) dan boleh ditandatangani secara percuma.

Bagaimanapun setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada JDT mengenai kemasukan pemain itu.

Ketika ini, dia bergelar ejen bebas namun selain JDT, ada beberapa kelab turut menyatakan minat untuk mendapatkan pemain itu seperti Cerro Porteno dan Junior de Barranquilla. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN