BATANG selasih
permainan budak,
Daun selasih dimakan kuda,
Bercerai kasih talak tiada,
Seribu tahun kembali juga.
Burung merpati
terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.
Kalau tuan mudek ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.
Indah sungguh bait lirik lagu bertajuk Gurindam Jiwa, nyanyian Rafeah Buang dan R. Ismail. Lagu yang dihasilkan pada 1965, genap 60 tahun beredar dalam lipatan panggung masyarakat Melayu. Rangkapnya begitu kemas, syahdu, meyakinkan, menzahirkan manifestasi cinta, kasih dan sayang mendalam antara pasangan suami isteri.
Begitulah hebatnya nilai sebuah perkahwinan pada mata masyarakat terdahulu. Kesetiaan mereka berkekalan walaupun terpisah beribu tahun, manakala talak pula hanyalah berkuasa pegun yang bukanlah manisan untuk dituturkan.
Berbeza dengan era jahiliah yang menjadikan wanita sebagai komoditi, Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembela kaum hawa dengan penekanan diberikan terhadap aspek kesaksamaan jantina, setiap manusia mempunyai nilai yang sama di sisi Allah SWT, dianugerahkan pahala dan balasan dosa tanpa perbezaan batasan jantina, darjat, warna kulit, bangsa mahupun negara tertentu.
Pelengkapnya, menerusi ayat 34, surah al-Nisa’, Allah SWT mengangkat darjat lelaki sebagai pemimpin (qawwam) dengan firmanNya:
“Kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Sesungguhnya, kaum lelaki diberikan keistimewaan dengan ‘dilantik’ selaku pemimpin, pengawal, pelindung, penyedia nafkah dan pemegang amanah besar selaku suami dan bapa terutamanya bagi memastikan institusi kekeluargaan berkembang menurut landasan yang diredai Allah SWT.
Malangnya, betapa ramai lelaki yang menyedari ‘tauliah’ kepimpinan yang dianugerahkan tersebut? Adakah mereka berhempas pulas menjalankan amanah? Atau adakah mereka terus selesa dan hanyut dalam ‘lingkaran selamat’ kerana segala tanggungjawab tersebut dipikul sepenuhnya oleh isteri?
Realitinya, penyerapan kriteria lelaki qawwam semakin terhakis dalam masyarakat. Kerana itu, krisis akhlak, kes pembubaran perkahwinan, keganasan rumah tangga, jenayah dan pengabaian tanggungjawab semakin meningkat saban tahun.
Berdasarkan pemerhatian terhadap kes perceraian di mahkamah syariah, saya dapati sebahagian besar suami seringkali mengambil mudah amanah yang dipertanggungjawabkan, gagal mempertahankan keharmonian dan kurang berusaha mengekalkan ikatan pernikahan.
Sikap enteng sebegini bukanlah suatu perkara yang menghairankan kerana apabila diamati, ia selari dengan punca utama berlakunya perceraian iaitu disebabkan faktor ekonomi, meninggalkan isteri dan permasalahan interpersonal (sikap).
Sadisnya, terdapat segelintir suami menggunakan kelebihan kudratnya untuk mendera isteri dan anak-anak. Buktinya, statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan terdapat 22,908 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara semenjak 2020 hingga Ogos 2023.
Episod ketidakbertanggungjawaban tersebut semakin membuak bagi kes lafaz talak di luar mahkamah. Walaupun undang-undang memperuntukkan talak hanya boleh dilafazkan di mahkamah selepas diperintahkan oleh hakim, namun statistik menunjukkan kes pengesahan lafaz talak di luar mahkamah menduduki ranking kedua tertinggi berbanding jenis pembubaran perkahwinan lainnya.
Anehnya ketika mengemukakan keterangan di mahkamah, sebahagian besar suami menzahirkan penyesalan serta berusaha menafikan lafaz talak yang diucapkan tersebut.
Sikap acuh tidak acuh ini berterusan ketika perjalanan prosiding di mahkamah. Menurut kajian yang saya jalankan terhadap 669 fail di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, didapati 60 peratus daripada defendan/suami tidak menghadiri prosiding sebutan bagi kes perceraian, manakala 90 peratusnya lagi gagal menghadirkan diri ketika prosiding perbicaraan kes taklik. Ketidakhadiran tersebut pastinya menyulitkan isteri, melengahkan penyelesaian kes dan membazir masa mahkamah.
Begitulah juga ehwalnya dengan pengabaian terhadap nafkah apabila statistik menunjukkan terdapat 16,274 kes berkaitan tuntutan nafkah anak, nafkah isteri dan nafkah tertunggak difailkan di seluruh negara semenjak 2019 hingga 2023.
Bagi mengatasi isu culas nafkah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Selain memberikan khidmat nasihat perundangan dengan ‘memujuk’ suami/bekas suami/bapa kembali menjalankan tanggungjawab, pegawai BSK juga bertindak selaku peguam syarie bagi menguatkuasakan perintah berkenaan.
Ironinya, walaupun pelbagai kaedah dilakukan, namun segelintir bekas suami/bapa masih gagal menjalankan tanggungjawab tersebut. Malah menerusi beberapa kes, bekas suami/bapa lebih tegar memilih untuk dipenjarakan berbanding membayar nafkah berkenaan.
Adalah perlu diingatkan bahawa pemenjaraan bukanlah ‘tiket’ untuk melepaskan diri dari membayar hutang nafkah. Dengan kata lain, hutang nafkah masih wajib dilunaskan walaupun bekas suami/bapa selesai menjalani hukuman pemenjaraan tersebut.
Golongan lelaki juga perlu disedarkan untuk berperanan aktif bagi melindungi ahli keluarga yang tidak berkemampuan. Apatah lagi apabila statistik terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan jangka hayat wanita lebih panjang iaitu 77.8 tahun berbanding 73 tahun bagi lelaki, sekali gus menyaksikan lebih ramai warga emas dari kalangan wanita atau balu di Malaysia.
Justeru, sedari awal lagi Islam memperuntukkan harta pusaka dengan nisbah dua kali ganda kepada lelaki berbanding wanita dengan matlamatnya agar saudara-mara lelaki membantu golongan rentan berkenaan.
INISIATIF
Meneliti realiti tersebut, kadangkala wanita seolah-olah dipukul mundur keadaan, dipaksa menetap perasaan dan menyerah oleh kenyataan. Justeru, bagi memperkasa peranan kaum adam, Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) diwujudkan sebagai salah satu agenda nasional yang diharapkan berupaya mewujudkan kestabilan pembangunan masyarakat serta ekonomi negara.
Inisiatif ini perlu digerakkan dari segenap penjuru, bertitik tolak dari peringkat individu, disuburkan bersama pasangan, digemburkan oleh ibu bapa serta disambut oleh masyarakat merentasi sempadan usia dan sosial.
Sesungguhnya, kemakmuran dan keharmonian akan terwujud secara kolektif dengan kecaknaan lelaki qawwam, penerima mohor selaku pembela dan pelindung wanita, keluarga dan negara.-UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah pegawai syariah.










