Kelayakan Piala Asia 2027 kayu ukur Harimau Malaya 

Kelayakan Piala Asia 2027 kayu ukur Harimau Malaya 

Skuad Harimau Malaya akan menentang Vietnam dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 dan menjadi penanda aras pertama sejak revolusi yang dilakukan terhadap pasukan itu. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan hanya dapat melihat hasil daripada revolusi bola sepak negara pada Mac 2026 selepas aksi terakhir Harimau Malaya dalam kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, FAM mempamerkan kesungguhan mereka untuk mengukuhkan bola sepak negara khususnya Harimau Malaya.

Katanya, usaha FAM itu dapat dilihat apabila badan induk tersebut membawa masuk tenaga pakar dari luar termasuk ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Douglas Friend serta Dr. Craig Duncan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan.

“Tetapi, kena ingat mereka berjaya di negeri mereka dengan budaya daripada pasukan yang berbeza. Mereka mungkin boleh berjaya atau sebaliknya.

“Paling hampir untuk melihat kesan daripada revolusi bola sepak negara ini adalah selepas menentang Vietnam nanti. Saya percaya akan ada impak, tak banyak, sikit. 

“Bagaimanapun,kita harus berpijak di bumi yang nyata apabila matlamat utama kita adalah layak ke Piala Asia 2027 dan ranking dalam kelompok 100 pasukan terbaik di dunia. Kita perlu lihat sama ada ia berjaya di capai atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada kempen kelayakkan tersebut Malaysia diletakkan dalam F bersama Vietnam sebagai pencabar utama kemudian Nepal dan Laos. 

Berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia dan Vietnam masing-masing di tangga ke-132 dan ke-114 dilihat dua pasukan pilihan untuk layak ke pusingan akhir di Arab Saudi manakala Nepal tempat ke-175 dan Laos (186).

Terdahulu, Malaysia menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada edisi 2023 ketika pasukan di bawah kendalian Kim Pan Gon.

Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN