JDT hampiri kejuaraan liga kali ke-11 

JDT hampiri kejuaraan liga kali ke-11 

Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid (kanan) diasak pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio berpuas hati dengan prestasi pasukannya selepas meraih tiga mata penting menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0, kelmarin yang mencerahkan peluang merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.

Kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu membolehkan skuad Harimau Selatan menerajui Liga Super dengan mengumpul 52 mata daripada 18 perlawanan.

Berbaki enam perlawanan untuk diharungi, JDT kini 13 mata di depan Selangor yang menghuni tangga kedua liga dengan mengumpul 39 mata. 

Ini bermakna, Harimau Selatan hanya memerlukan dua lagi perlawanan untuk dinobatkan sebagai juara.

Sebagai rekod, JDT mencipta sejarah apabila memenangi Liga Super ke-10 berturut-turut musim lalu, sekali gus mempertahan penguasaan mereka yang bermula sejak musim 2014.

Bidoglio berkata, pasukannya menyedari bukan tugas mudah berdepan anak-anak buah Badrul Afzan Razali di gelanggang mereka namun pemainnya memberi komitmen 100 peratus memburu kemenangan.

“Kami tahu ia perlawanan yang sukar tetapi pemain menunjukkan aksi yang baik. Kadangkala dalam perlawanan, sukar untuk mengawal bola namun pemain memberikan 100 peratus. Tiga mata ini sangat penting kepada JDT,” katanya selepas perlawanan.

JDT yang masih segar dengan kemenangan besar 4-0 ke atas TFC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, 17 Januari lalu memperoleh jaringan tunggal perlawanan menerusi Juan Muniz pada minit ke-12.

Larian Muniz dapat melepasi ‘garis’ pertahanan TFC sebelum melepaskan tendangan leret kaki kiri yang gagal ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Rahadiazli Rahalim.

Sementara itu, ketumpulan jentera serangan menafikan peluang TFC untuk menembusi gawang pasukan pelawat walaupun membuat sembilan percubaan ke pintu gol JDT termasuk rembatan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-80 yang menggegarkan palang gol.

Badrul Afzan mengakui pasukannya kurang dari segi ketajaman di bahagian serangan seperti yang berlaku dalam perlawanan-perlawanan terdahulu walaupun berpuas hati dengan aksi keseluruhan ditunjukkan anak buahnya dalam perlawanan itu.

Katanya, peluang menjaringkan gol sepatutnya dimanfaatkan TFC apatah lagi berdepan dengan pasukan hebat seperti JDT.

“Kita perlu menjaringkan gol apabila mendapat peluang menentang JDT yang bukan calang-calang pasukan. Apapun kita kena pandang ke depan dan sentiasa mengingatkan pemain.

“Keseluruhannya saya berpuas hati dengan perlawanan ini, pemain-pemain sudah memberikan segala-galanya walaupun nampak keletihan kerana mengharungi jadual perlawanan yang padat,” katanya.

Selepas ini, kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu iaitu dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×