Friend mahu bawa Harimau Malaya ke Piala Dunia 

Friend mahu bawa Harimau Malaya ke Piala Dunia 

ROBERT Douglas Friend memasang cita-cita besar menerusi projek revolusi Harimau Malaya. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Membawa Malaysia layak ke pentas Piala Dunia menjadi salah satu impian Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Robert Douglas Friend sepanjang tugasannya bersama skuad kebangsaan.

Biarpun misi itu tampak sukar, Friend melihat impian tersebut mampu direalisasikan menerusi perancangan jangka panjang yang bakal direncanakan menerusi projek revolusi Harimau Malaya.

Katanya, pembinaan asas yang kukuh cukup penting memandangkan ia adalah tunjang utama kepada revolusi skuad Harimau Malaya dalam mencipta kejayaan lebih gemilang di peringkat antarabangsa.

“Kita perlu merangka strategi untuk membina kejayaan jangka panjang. Saya tidak berada di sini untuk kejayaan jangka pendek. Saya di sini adalah untuk membina model jangka panjang buat pasukan kebangsaan dan itu mengambil masa.

“Kita perlu mengenal pasti beberapa permasalahan dan dengan visi Tunku Mahkota Ismail (Pemangku Sultan Johor) untuk menjadi lebih baik, harapnya Malaysia dapat melangkah ke Piala Dunia kerana itu cita-cita saya,” katanya.

Sebagai rekod, Friend merupakan seorang bekas pemain yang beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah Moss FC, Molde FK, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt, 1860 Munich dan LA Galaxy.

Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau telah melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.

Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari ini hadir dengan portfolio hebat menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.

Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta (RM668 juta).

Bermula 2019 hingga sekarang, Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN