Farah yakin serangan panik tidak gugat aksi di kejohanan dunia 

Farah yakin serangan panik tidak gugat aksi di kejohanan dunia 

Nor Farah Ain Abdullah akan menyertai Kejohanan Dunia di England.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah, menyatakan kesediaannya untuk memberi aksi terbaik dalam Kejohanan Dunia Boling Padang di England pada Januari ini, meskipun bergelut dengan masalah serangan panik yang dialaminya.

Farah, yang merupakan antara pemain utama negara, mengakui cabaran mengawal emosi semasa kejohanan besar. 

Namun, dia yakin dengan persediaan rapi yang sedang dilakukannya mampu membantu mengatasi halangan tersebut.

“Kita semua akan berdepan rasa gugup terutama dalam pertandingan besar seperti ini. Namun, saya cuba fokus pada teknik kawalan pernafasan dan berfikir secara positif untuk memastikan saya tidak tenggelam dalam perasaan panik itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, latihan intensif bersama jurulatih serta rakan sepasukan menjadi kekuatan utama untuk memastikan dirinya terus konsisten menjelang kejohanan tersebut.

“Saya masih menjalani latihan dengan jurulatih di Selangor, dan minggu ini kami akan  mula sesi intensif bagi memperbaiki teknik dan mental.

“Perjalanan ke England bukan mudah, tetapi saya akan berusaha sehabis baik,” katanya.

Farah turut mendedahkan rasa teruja bercampur gementar apabila bakal berhadapan pemain-pemain terbaik dunia yang berada dalam kelompok 12 teratas.

“Semua peserta di kejohanan ini sangat hebat dan pernah mempamerkan prestasi luar biasa. Saya tidak boleh memandang rendah sesiapa.

“Keputusan hanya akan ditentukan di atas padang, jadi saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Atlet yang berada dalam ranking No.2 Dunia itu berkata, sokongan keluarga, rakan sepasukan, dan peminat setia menjadi motivasi terbesar buat dirinya.

“Doa dan dorongan daripada semua sangat penting buat saya. Saya berharap mampu memberikan persembahan terbaik dan mengharumkan nama negara,” katanya.

Sebelum ini, Farah berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2024 di Guernsey selepas menewaskan wakil dari Malta, Connie Rixon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×