PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berani dan berhenti bermain politik dalam soal pencalonan menjelang kongres pemilihan badan induk itu pada Februari ini.
Ketika ini, ahli gabungan mempunyai kuasa untuk memilih calon-calon terbaik yang mereka inginkan untuk merebut pelbagai jawatan dalam kongres pemilihan FAM terutamanya untuk jawatan presiden.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd. Sadek Mustafa berkata, sekiranya ahli gabungan masih bersikap sambil lewa dan berkomplot dalam soal pencalonan, maka tiada perubahan besar dapat disaksikan.
“Ahli gabungan kena berani dan berhenti main politik macam ahli politik, kalau terus ada sikap yang sama, maksudnya kita akan lihat banyak kegagalan dalam industri bola sepak negara.
“Pemilihan calon perlu dibuat berdasarkan penilaian terbaik, boleh bawa bola sepak Malaysia ke tahap baharu dan mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa, sesuai dengan revolusi yang direncanakan.
“Maksud saya, ahli gabungan ini jangan berkomplot pilih calon. Pilih yang berani berkorban letak nama Malaysia ditempat selayaknya,” kata kepada Utusan Malaysia.
Sadek berkata, pemilihan calon untuk mengisi jawatan di FAM tidak hanya boleh diisi oleh individu-individu atau ‘orang dalam’ badan induk itu sahaja kerana ia seharusnya terbuka.
“Kalau FAM boleh lantik orang luar negara dalam revolusi Harimau Malaya, kenapa perkara sama tidak boleh dilakukan dalam kongres pemilihan nanti. Saya tengok perlu ada perubahan dalam perkara ini,” katanya.
Senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 pada kongres badan induk depan akan diketahui selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, FAM sudah menghantar notis kongres dan borang pencalonan dengan tarikh tutup pada 16 Januari kepada kesemua ahli gabungannya.
Sebelum ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden badan induk itu pada kongres akan datang selepas dilantik pada Julai 2018.
Bagi membolehkan mana-mana individu berpeluang merebut jawatan presiden FAM, mereka perlu sekurang-kurang menerima enam pencalonan daripada ahli gabungan.
Bagi jawatan timbalan presiden FAM pula, Noor Azman berkata, sekurang-kurangnya lima pencalonan diperlukan dengan pertandingan untuk semua jawatan adalah terbuka setakat ini. – UTUSAN











