KUALA LUMPUR: Keputusan mengejut jurulatih perseorangan lelaki profesional negara, Wong Tat Meng menamatkan kerjasama rapat dengan Lee Zii Jia, bermakna Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu depan menjadi tugasan terakhir beliau.
Menerusi kenyataan Team LZJ, Tat Meng akan berkhidmat buat kali terakhir dengan Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir sebelum kontraknya berakhir pada 31 Disember 2024.
“Sejak menyertai Team LZJ pada Julai 2023, Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam membimbing Zii Jia kembali ke kelompok 10 terbaik dunia, memenangi kejuaraan, dan membawa pulang Pingat Gangsa Olimpik dari Paris 2024.
“Tat Meng akan terus berkhidmat dengan Team LZJ sehingga kontraknya secara rasmi tamat pada 31 Disember 2024, dan kini sedang mempersiapkan Zii Jia untuk Jelajah Dunia Akhir yang akan datang,” kata kenyataan itu.
Mei lalu, jurulatih berusia 57 tahun itu memberi bayangan untuk ‘berehat’ sebaik sahaja dia menamatkan kempen Olimpik Zii Jia di Paris.
Kontraknya akan tamat pada penghujung tahun ini dan walaupun telah membimbing Zii Jia merangkul gangsa Olimpik sulungnya, Tat Meng tetap berdiam diri mengenai rancangannya untuk 2025.
Sementara itu, pasukan LZJ akan meneruskan perjalanan mereka bagi musim 2025 dengan misi baharu iaitu perancangan untuk mencari pengganti Tat Meng yang dijangka diumumkan pada masa terdekat.
“Team LZJ akan melantik pengganti Tat Meng, dan pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai. Pasukan ini juga sedang bersiap untuk memulakan musim 2025 dengan persediaan menghadapi Kitaran Olimpik yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN










