Tanpa padang tidak halang Sri Pahang benam Selangor

Tanpa padang tidak halang Sri Pahang benam Selangor

Pemain Selangor FC, Ali Olwan (tengah) merembat bola ke gawang Sri Pahang pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sri Pahang hanya melakukan persiapan di gelanggang futsal seminggu sebelum berdepan Selangor FC namun ia tidak menghalang mereka untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 3-2.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata anak buahnya hanya merasai padang buat pertama kali dalam tempoh seminggu ketika menentang Selangor FC (SFC) pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia, kelmarin.

Jelasnya, pasukan itu berdepan cabaran dalam mengharungi sesi latihan sepanjang minggu ini susulan mereka tidak dapat menggunakan padang sebagai persiapan untuk menentang juara 33 kali itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kita pun ada masalah minggu ini kerana kita tiada tempat latihan untuk menjalani latihan. Jadi, kita hanya berlatih di gelanggang futsal dan padang sintetik. Kita tidak dapat menggunakan padang, kita datang ke sini (Stadium MBPJ), baru dapat padang,” kata Fandi.

Terdahulu, Tok Gajah mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengetepikan Selangor 3-2 secara agregat menerusi kemenangan 2-1 di tempat lawan apabila terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Fandi mengakui mereka terpaksa bermain secara tertutup dan hanya mengharapkan serangan balas pantas memandangkan pasukan lawan memiliki kualiti yang jauh lebih baik berbanding Sri Pahang.

“Kita bermain dengan cukup disiplin dan rancangan kita ke sini memang untuk tidak bermain secara terbuka. Kita teruskan bermain secara ‘compact’ dan kelebihan kita adalah semangat juang dan semangat bersatu daripada pasukan.

“Kita memang nak undang Selangor datang (menyerang), jadi sebab itulah kita banyak duduk di belakang dan kita gunakan kepantasan di bahagian sayap terutamanya menerusi sayap kiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN