Lupakan hasrat kaut untung jual tiket 

Lupakan hasrat kaut untung jual tiket 

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang sunyi daripada sorakan penonton semasa perlawanan Piala Malaysia KL City menentang Kedah Darul Aman FC minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan pasukan yang bertanding di Liga Malaysia (Liga M) boleh melupakan hasrat untuk mengisi kantung kewangan kelab menerusi kutipan jualan tiket kerana jumlahnya tidak begitu besar.

Keadaan itu dipengaruhi kehadiran penonton ke stadium yang merosot apabila peminat bola sepak tempatan memilih untuk menonton siaran langsung di rumah kecuali melibatkan perlawanan besar.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa berkata, kemorosoton kehadiran penyokong mula berlaku sejak dua musim lalu.

“Jika ada pasukan mahu kaut untuk dengan menjual tiket, lupakan sahaja kerana hasil kutipan tiket hanya menyumbang 10 peratus kos operasi jika kehadiran 70 peratus penonton ke stadium.

“10 peratus itu untuk tampung kos operasi sahaja dan bukannya untuk perkara-perkara lain bagi satu musim untuk satu-satu pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Sadek berkata, harga tiket bukan menjadi sebab utama penyokong memilih untuk tidak datang ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

“Tiket bukan isu Utama, Sekarang adalah isu perlawanan tidak menarik dan tiada keseimbangan antara kelab. Situasi ini menyebabkan liga tidak kompetitif.

“Tidak menarik sebab tiada persaingan, apa yang jelas kita sudah nampak kemerosotan ini berlaku sejak dua tahun lalu. Dominasi pasukan tertentu terlalu ketara dan jurang dengan pasukan lain sangat besar,” katanya.

Sehubungan itu, Sadek berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dapat memperkenalkan kaedah terbaik untuk keseimbangan pasukan-pasukan yang bertanding bagi merancakkan kembali Liga M. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN