Fauzan ‘dahagakan’ pingat emas lagi  

Fauzan ‘dahagakan’ pingat emas lagi  

Ahmad Fauzan Abdul Hadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesilat negara, Ahmad Fauzan Abdul Hadi mahu terus menambah pingat emas dalam koleksi selepas mengungguli pada penampilan sulungnya di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, minggu lalu.

Atlet kelahiran Sungai Petani itu berjaya memikat hati juri dengan memperoleh 9.960 mata untuk menewaskan wakil Indonesia, Syarief Hidayatullah Suhaimi, yang memperoleh 9.940 mata dalam kategori solo kreatif putera sekali gus muncul atlet pertama meraih pingat emas pada kejohanan itu.

Fauzan berkata, kejayaan memenangi pingat emas itu menjadi motivasi buat beliau untuk terus mencipta kejutan dalam kejohanan antarabangsa sekali gus merampas takhta di Sukan SEA Thailand 2025 sekiranya ia dianjurkan.

“Bertanding di luar negara adalah pengalaman baharu yang sangat mendebarkan. Saya berdepan dengan pesaing yang berpengalaman luas di peringkat dunia. 

“Saya beri segala-galanya di final dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Alhamdulillah, saya berjaya meraih emas yang selama ini saya impikan.

“Kemenangan ini memberi saya semangat baharu untuk terus maju. Saya berharap dapat beraksi di Sukan SEA seterusnya dan meraih emas di sana juga,” kata Fauzan.

Anggota pangkat koperal dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berada setahun bersama pasukan kebangsaan itu mendedahkan beliau sering menjadi rakan regu bersama V. Thamaraj.

“Thamaraj dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan setahun lebih awal daripada saya. Dia sering berlatih dengan senior-senior kami dalam tentera. Thamaraj seorang yang sangat rendah diri dan sangat menghormati orang, dia hanya agresif apabila bertanding,” katanya.

Thamaraj yang turut berasal dari Sungai Petani turut mencipta sejarah apabila pingat emas dalam kategori bebas putera di kejohanan dunia edisi ke-20 terbabit sekali gus menjadi atlet silat Malaysia berbangsa India pertama yang memenangi gelaran dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN