Ziyad 'tidak' boleh bersara jika tiada pengganti

Ziyad tidak boleh bersara jika tiada pengganti  

Muhammad Ziyad Zolkefli beraksi dalam acara lontar peluru Sukan Paralimpik Tokyo 2022. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli ‘tidak’ boleh bersara sekiranya tiada pengganti yang mampu menggalas tanggungjawabnya pada Sukan Paralimpik Los Angeles (LA) 2028.

Perkara itu didedahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada mesyuarat bedah siasat prestasi Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris bersama wakil persatuan serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Majlis Sukan Negara (MSN), kelmarin.

Hannah berkata, ketiadaan atlet ‘No. 2’ di bawah Ziyad menyebabkan beliau harus meneruskan kariernya sebagai atlet olahraga negara biarpun semakin dimamah usia ketika temasya empat tahun sekali itu berlangsung.

“Keperluan pengisian (atlet No. 2) itu perlu supaya kita tidak bergantung kepada beberapa orang atlet sahaja untuk mencapai sasaran. Sebagai contoh, Ziyad yang sudah mencecah usia senior dan sebenarnya tiada atlet kedua terbaik untuk menggantikannya.

“Dalam sesi bedah siasat ini mendedahkan, mereka (barisan kejurulatihan) tidak dapat mencari seorang atlet yang mampu menggantikan Ziyad. Oleh itu, Ziyad tidak boleh bersara dan perlu meneruskan perjuangannya ke Paralimpik LA 2028,” kata Hannah kepada pemberita pada sidang akhbar mesyuarat terbabit di MSN, kelmarin.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk mencari ‘ubi muda’, Hannah berkata, KBS dengan kerjasama MSN dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) akan memperluaskan program bakat untuk atlet para negara bermula tahun depan.

Menurutnya, program itu harus dilakukan dengan kadar segera berikutan pencarian bakat baharu untuk atlet para adalah pada tahap yang kritikal.

“Ketika atlet di negara lain yang sedang berlumba untuk melahirkan bakat baharu, kita harus memperluaskan program pencarian bakat baharu bermula tahun depan.

“Oleh itu, kita meminta bajet tambahan dari kerajaan untuk memastikan MSN dan JBSN untuk menggandakan program pencarian bakat. Hal ini kerana, banyak kerja yang harus dilakukan untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi. Sebagai contoh, atlet para berbasikal memerlukan tujuh tahun untuk bersedia menghadapi kejohanan antarabangsa,” ujarnya.

Kontinjen Paralimpik Malaysia gagal mencapai sasaran untuk membawa pulang empat pingat emas apabila sekadar pulang dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa di Paris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN