GEORGE TOWN : Teka-teki mengenai siapakah pengganti Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih Penang FC terjawab apabila jawatan tersebut kini menjadi milik bekas penolong ketua jurulatih KL City FC, Wan Rohaimi Wan Ismail.
Wan Rohaimi, 48, bukanlah nama asing kepada peminat bola sepak di negeri ini kerana bekas pemain kebangsaan itu pernah menyarung jersi skuad Harimau Kumbang yang ketika itu dikenali sebagai Penang FA pada musim 2003-2004.
Anak jati Kelantan itu juga pernah menabur bakti sebagai jurulatih skuad Piala Presiden bawah 21 tahun Penang FC kira-kira empat tahun yang lalu selain pernah melatih beberapa pasukan lain termasuk PDRM FC dan antara tenaga pengajar di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sebelum ini.
Wan Rohaimi berkata, dia tidak berfikir panjang apabila ditawarkan untuk kembali bersama skuad Pulau Mutiara buat kali ketiga, kali ini sebagai ketua jurulatih skuad senior.
“Saya sedar cabaran yang menanti saya adalah bukan calang-calang. Tetapi, dengan segala ilmu yang saya ada dalam bola sepak dan saya juga berpengalaman untuk mengambil pasukan di pertengahan musim.
“Itu semua memberikan kekuatan kepada saya untuk datang ke sini (Penang FC) dan cuba untuk membawakan perubahan. Insya-Allah,” katanya kepada sidang akhbar memperkenalkan ketua jurulatih baharu pasukan itu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Penang FC, Daniel Gooi, hari ini.
Penang FC kini berada di tangga kesebelas saingan Liga Super dengan hanya mampu merekodkan dua kemenangan, lima keputusan seri serta tujuh kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan liga setakat ini.
Cabaran pertama Wan Rohaimi selaku ketua jurulatih Penang FC adalah menentang Kuching FC dalam saingan pusingan kedua Piala Malaysia di laman sendiri minggu depan.
Mengulas lanjut, Wan Rohaimi yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan termasuk Kelantan, Pahang dan Terengganu ketika era kegemilangannya sebagai pemain berkata, sebagai ketua jurulatih baharu, dia mahu bersikap lebih realistik.
“Saya tidak mahu menjanjikan ‘bulan dan bintang’ (kepada peminat Penang FC) tetapi saya akan pastikan pastikan benda itu (perubahan positif) berlaku seberapa segera.
“Saya yakin anda semua dapat lihat perkembangan ataupun perubahan itu berlaku ketika perlawanan pertama saya nanti,” katanya yang akan membimbing Penang FC sehingga tamat saingan untuk musim 2024-2025 nanti.
Dalam pada itu, Gooi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang berkata, pihaknya akan meneliti semula kontrak Wan Rohaimi andai jurulatih berpengalaman itu mampu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pihak pengurusan kelab.
“Dalam bisnes bola sepak ini kita bukan seperti badan kebajikan. Kita telah tetapkan KPI (untuk dicapai). Jika capai KPI, kita mungkin akan lanjutkan kontrak beliau (Wan Rohaimi),” ujarnya. – UTUSAN
habis
caption:
WAN Rohaimi Wan Ismail (kiri) bersama Daniel Gooi pada sidang akhbar untuk memperkenalkan ketua jurulatih baharu Penang FC di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
WAN Rohaimi Wan Ismail (dua dari kiri) akan membimbing Penang FC sehingga tamat saingan Liga Malaysia untuk musim 2024-2025.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN










