Wan Rohaimi akui berdepan tugas sukar 

Wan Rohaimi akui berdepan tugas sukar 

PEMAIN Penang FC, Rafael Vitor Santos (kiri) bersaing dengan pemain Selangor, Mukhairi Ajmal dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebelum ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih baharu Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk membimbing skuad Harimau Kumbang pada baki saingan Liga Malaysia 2024-2025. 

Jurulatih kelahiran Kelantan itu menganggap bukan tugas yang mudah untuk melatih pasukan yang sedang bergelut di tangga ketiga tercorot Liga Super selepas menamatkan 14 perlawanan pusingan pertama musim ini.

Namun, beliau percaya dengan keupayaan barisan pemain untuk kembali bangkit menerusi strategi dan perancangan baharu terutamanya dalam saingan Piala Malaysia bagi aksi menentang Kuching City FC pada pusingan 16, Khamis ini.

“Betul, cabaran besar menanti saya selepas ini dan perlawanan pertama lawan Kuching City itulah akan menjadi titik permulaan untuk saya.

“Tetapi pasukan ini sebenarnya bukanlah asing untuk saya sebab pernah bermain pada tahun 2003 dan sebagai jurulatih Piala Presiden pada tahun 2020.

“Jadi bila saya dapat tawaran ini, saya memang tak fikir panjang dan positif dengan pengalaman yang saya ada dapat bawa perubahan kepada kelab ini,” jelasnya.

Bekas penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC itu kini dalam proses menilai pemain-pemain dengan lebih rapat memandangkan beliau hanya ada lebih kurang satu minggu sahaja untuk mempersiapkan pasukan berdepan Kuching City.

“Saya harus menggunakan masa yang ada ini untuk kenal terlebih dahulu dengan pemain-pemain yang ada ketika ini.

“Jadi, hari ini (semalam) hari pertama saya bersama pasukan dan berharap kami dapat lebih serasi untuk perbaiki segala aspek dengan lebih baik.

“Saya ada kenal juga sebahagian daripada pemain yang pernah bersama saya sebelum ini, tetapi sekarang tugas saya adalah untuk menambah baik kekurangan yang ada”, tambahnya.

Wan Rohaimi hadir ke Penang FC bagi menggantikan posisi ketua jurulatih sebelum ini iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN