PETALING JAYA: Pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjanjikan aksi terbaik buat penyokong Red Giants dalam aksi menentang Muangthong United pada aksi Liga Juara-Juara 2 (ACL 2), malam ini.
Kelebihan menjadi milik Selangor kerana perlawanan berlangsung di gelanggang keramat mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), biarpun peluang nampak seimbang selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama.
Bekas penolong jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu berkata, tempoh singkat bersama gergasi Lembah Klang itu tidak menjadi masalah untuk beliau membentuk skuad terbaik bagi berdepan wakil Thailand itu.
“Saya beritahu kepada pemain yang mereka ada kekuatan untuk bermain, jadi mereka boleh gunakan semua perkara itu untuk tunjukkan kemampuan masing-masing. Saya gembira dengan skuad yang ada sekarang.
“Kita boleh jangkakan perlawanan yang menarik kerana Muangthong United juga bagus, jadi kami kena bersiap sedia lebih rapi untuk menentang lawan berkualiti. Sekarang kami bersedia dan fokus kini lebih menjurus kepada diri kami sendiri.
“Saya tidak boleh katakan tidak cukup masa untuk pemain faham cara saya, mereka faham apa yang perlu dilakukan atas padang nanti,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.
Red Giants kini di tangga kedua Kumpulan H dengan tujuh mata dan bintang importnya, Alvin Fortes sedar cabaran menanti pasukan selepas ini khususnya untuk melunaskan permintaan jurulatih.
“Kami ada peluang untuk layak dan perlu ambil peluang ini. Seperti jurulatih katakan, kami akan bermain untuk tiga mata dan akan berjuang sehingga minit terakhir,” katanya.
Sekiranya berjaya mengutip tiga mata, peluang Selangor untuk mara ke pusingan 16 terbaik ACL2 semakin cerah dan untuk rekod, dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya. – UTUSAN










