PETALING JAYA: Persiapan selama tujuh bulan Malaysia Tigers bagi menghadapi Piala Mirnawan 2024 nyata berbaloi apabila mereka dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Jurulatih Malaysia Tigers, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin berpuas hati dengan persembahan serta semangat juang pemainnya apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum muncul juara edisi ketiga kejohanan.
“Alhamdulillah atas kejayaan pasukan. Kita dapat lihat lawan menerapkan corak permainan pantas dan saya telah mengingatkan pemain sebelum beraksi supaya berdisiplin dengan kelajuan lawan.
“Titik tolak pasukan adalah pada tiga minit terakhir permainan apabila kita berjaya mengekalkan kedudukan 3-2. Pada suku pertama dan kedua memang pasukan tidak beraksi dengan laju namun kami mengingatkan mereka untuk melakukannya pada suku ketiga dan keempat.
“Saya berpuas hati dengan pemain kerana mereka menunjukkan banyak peningkatan dan selepas melakukan persiapan selama tujuh bulan hasilnya adalah memperoleh kejuaraan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini, kelmarin.
Dalam aksi tersebut, Korea Selatan terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti Choe Dohyeon sebelum Aferull Syah meledak dua gol pada minit ke-38 dan ke-48.
Dohyeon kembali menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti sebelum kapten, Muhammad Safwan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-56.
Mengulas lanjut, Izwan merupakan bekas penyerang kebangsaan mengakui beberapa anak-anak buahnya berpotensi untuk dimasukkan ke dalam skuad remaja negara.
“Saya lihat ramai yang berpotensi dalam enam hingga tujuh orang untuk dimasukkan ke skuad remaja. Mungkin mereka akan diketengahkan di peringkat antarabangsa. Kejohanan ini bagus kerana memberi pemain pengalaman beraksi di pentas antarabangsa,” katanya. – UTUSAN











