Tang Jie-Ee Wei buktikan bangkit ke separuh akhir 

Tang Jie-Ee Wei buktikan bangkit ke separuh akhir 

Chen Tang Jie-Toh Ee mendedahkan keyakinan menjadi kunci kejayaan mara ke separuh akhir China Masters 2024 selepas bangkit menewaskan pasangan tuan rumah Guo Xin Wa-Chen Fang Hu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee mendedahkan keyakinan menjadi kunci kejayaan mara ke separuh akhir China Masters 2024 selepas bangkit menewaskan pasangan tuan rumah Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di Arena Shenzen, semalam.

Gandingan No. 10 dunia itu hampir ditunjukkan jalan keluar selepas ketinggalan di set pertama, dan hampir ditumbangkan ketika lawannya mendahului 20-11 pada set kedua, namun Tang Jie-Ee Wei berjaya menoktahkan kemenangan 14-21, 23-21, 21-16 dalam tempoh 65 minit.

Tang Jie berkata, pengalaman bersama Ee Wei menentang pasangan terbaik dunia menjadi pengajaran berharga dan sukar untuk mengaku kalah sekali gus mampu mencari jalan penyelesaian secepat yang mungkin di dalam gelanggang.

“Sebenarnya kami cuba mencari jalan penyelesaian ketika mereka mendahului 1-12 kerana kami bermain dengan bagus dan saya sudah bersedia sepenuhnya (untuk perlawanan). Saya cuma bermain dengan lebih baik dan lebih yakin serta konsisten.

“Ada satu masa ketika mereka memenangi set pertama dan begitu hampir di set kedua, namun bagi saya menyukarkan corak permainan untuk menyukarkan mereka mencari mata. Kami ada melakukan perbincangan ketika mereka mendahului 11 mata di set kedua,” kata Tang Jie kepada BWF, semalam.

Dalam masa yang sama, Ee Wei berkata, perlawanan suku akhir China Masters itu menjadi detik paling istimewa untuk selama mereka bergandingan dan mahu mengekalkan rentak permainan itu dalam masa akan datang.

“Bukan mudah untuk bangkit ketika mata 11-20 kerana kebanyakan pemain tidak mampu untuk bangkit ketika di situasi itu. Ini yang kami perlu belajar daripada pasangan terbaik dunia. Saya rasa kami sudah buat yang terbaik dan mahu meneruskan momentum kami.

“Sejak pusingan pertama (China Masters) kami banyak melakukan perbincangan. Saya gembira kami mampu menangani kejohanan walaupun masih belum berakhir, namun saya gembira dengan perlawanan hari ini (semalam),” kata Ee Wei.

Pasangan pilihan keempat itu bakal mengharungi ujian getir pada aksi separuh akhir apabila dijadualkan menentang gandingan tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bagi penentuan ke final.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mara ke separuh akhir selepas mengatasi gandingan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin-Hui dengan keputusan straightset 10-21, 16-21, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN