PETALING JAYA: Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir mempersoalkan keperluan untuk mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam skuad Harimau Malaya.
Jamal merupakan Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menimbulkan persoalan terhadap tugas yang bakal digalas CEO tersebut.
“Tak perlu sebab setiap tugasan pasukan kebangsaan sudah ada jadual. CEO apa kerja dia nanti? FAM juga sudah ada Pengarah Teknikal (Scott D’Donell) dan barisan pengurusan untuk menguruskan tadbir pasukan kebangsaan.
“Jadi apa tujuan mewujudkan jawatan CEO? (Jawatan CEO) tak relevan sebab pasukan kebangsaan sudah ada jawatankuasa khas untuk menguruskannya seperti pengarah teknikal malah barisan jurulatih juga ada kelayakan jadi apa perlunya CEO?. Jalan terbaik adalah biarkan (tidak diganggu),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan menerusi satu perkongsian di laman sosial milik bekas Presiden FAM, Tunku Mahkota Ismail terdapat susun atur penyusunan setiap bahagian membabitkan skuad kebangsaan.
Dalam perkongsian tersebut memaparkan carta organisasi yang diketuai CEO/Pengarah Teknikal serta beberapa jawatan lain seperti penasihat sukan, ketua jurulatih dan lain-lain.
Bekas pemain pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980 itu turut menegaskan, FAM sebagai badan induk mempunyai kuasa mutlak terhadap pasukan kebangsaan dan jawatan CEO hanya diperlukan oleh kelab dan bukannya persatuan.
“Esok (akan datang) sekiranya berlaku apa-apa FAM juga akan dipersalahkan. Apabila Harimau Malaya tidak menunjukkan prestasi yang bagus FAM juga yang salah. Saya bukan nak mempertahankan FAM tetapi kalau letak CEO, apa-apa jadi orang akan salahkan FAM.
“Badan induk bukan kelab dan ini kena faham,” katanya. – UTUSAN










