Selangor buru keputusan positif 

Selangor buru keputusan positif 

SELANGOR FC mahu mengulangi kejayaan menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors 2-1 dalam aksi pertama di laman sendiri dua minggu lalu. Kedua-dua pasukan akan bertemu di Jeonju, Korea Selatan hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC bersedia sepenuhnya untuk berdepan Jeonbuk Hyundai Motors dalam perhitungan timbal balik Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) di Stadium Piala Dunia Jeonju, hari ini.

Jurulatih sementara Selangor FC, Abdi Hassan berkata, keputusan positif menentang Jeonbuk sangat penting bagi Gergasi Merah meneruskan momentum di puncak carta Kumpulan H ACL 2.

“Dalam perlawanan pusingan pertama di laman sendiri menentang Jeonbuk kita berjaya meraih tiga mata, sekarang kita bertandang ke tempat lawan dan pastinya kita mahukan keputusan yang baik.

“Saya akui, Jeonbuk satu pasukan yang bagus dan kita juga sudah melihat perlawanan terakhir (Jeonbuk) untuk kita buat persiapan bagi perlawanan esok menentang mereka (hari ini).

“Kita lalui minggu penuh mencabar sebelum ini di peringkat domestik, namun Berjaya menang dalam perlawanan terakhir. Itu momentum yang baik untuk pasukan,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Mengulas mengenai barisan pemainnya, Abdi berkata, Selangor FC sudah melakukan persiapan terbaik dan akan menurunkan kesebelasan utama dengan misi meraih keputusan positif.

“Kita sekarang mendahului carta Kumpulan H dan semestinya mahu layak, kami tahu kekuatan kami dan juga pihak lawan. Apa pun kami fokus untuk raih sesuatu yang baik biarpun lawan ada kekuatan beraksi di depan penyokong sendirinya,” katanya.

Ketika ini, Selangor memimpin Kumpulan H dengan tujuh mata, manakala Jeonbuk ditangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN