Kuching City uji kemampuan Wan Rohaimi

Kuching City uji kemampuan Wan Rohaimi

WAN Rohaimi Wan Ismail mengendalikan latihan pertama Penang FC sebagai ketua jurulatih yang baharu beberapa hari yang lalu. - IHSAN PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengendali baharu Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail sedang mencongak strategi paling ampuh untuk memerangkap Kuching City FC dalam aksi timbal balik pertama saingan pusingan kedua Piala Malaysia di laman sendiri, Khamis ini.

Menurut bekas penyerang kebangsaan yang juga pernah beraksi sebagai pemain pertahanan itu, dia perlu menyiapkan pasukannya dengan baik sebelum turun melayan kunjungan pasukan berpangkalan dari Sarawak itu.

“Seperti yang kita sedia maklum, Piala Malaysia sekarang menggunakan sistem ‘knock-out’ (kalah mati).

“Jadi, saya memerlukan perancangan yang rapi untuk menghadapi kedua-dua perlawanan (termasuk timbal balik kedua di Sarawak nanti) tanpa mengambil kira rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengikut format baharu saingan Piala Malaysia musim ini, pemenang di antara Penang FC dan Kuching City dijangka berdepan pemenang antara Putrajaya Athletic atau Sabah pada aksi suku akhir nanti.

Dalam pada itu, Wan Rohaimi memberitahu, Penang FC berkemungkinan tidak dapat menurunkan kesebelasan utamanya pada perlawanan tersebut kerana beberapa pemain utama masih dibelenggu kecederaan.

Apa pun katanya, pemain-pemain tersebut kini dalam proses pemulihan dan dia akan terus memantau perkembangan mereka menjelang hari perlawanan nanti.

“Justeru, saya sangat berharap agar penyokong Penang FC turun beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan berkenaan kerana sokongan anda amat berharga,” ujar jurulatih itu.

Perlawanan menentang Kuching City dilihat akan menjadi penanda aras terhadap kemampuan Wan Rohaimi selaku ketua jurulatih baharu Penang FC selepas mengambil alih tugas tersebut daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN