PETALING JAYA: Bekas pembantu pengendali skuad kebangsaan Serbia, Katsuhito Kinoshi menjadi pilihan Selangor FC untuk mengisi kekosongan ketua jurulatih pasukan berkenaan.
Selangor FC dalam perkongsiannya di laman web rasmi kelab itu berkata, Kinoshi mempunyai pengalaman luas di arena antarabangsa terutamanya dalam aspek taktikal dan strategi selain kepemimpinan berpasukan akan menjadi faktor utama memburu kejayaan pada musim ini.
Menurutnya, kepakaran dan pengalaman yang ada pada jurulatih kelahiran Jepun itu turut menarik minat beberapa jurulatih luar ternama untuk mendapatkan kerjasamanya antaranya jurulatih skuad Serbia, Dragan Stankovic, Giovanni van Bronckhorst dan Akira Nishino.
Kata kenyataan itu, bermula dengan Nagoya Grampus antara 2008-2014, Stankovic kemudian mempelawa Kinoshi menyertainya mengendali skuad Serbia dari 2021-2024 yang mana gandingan itu membantu pasukan memenangi Kumpulan 4 Liga Negara-Negara UEFA B untuk musim 2022-2024 menewaskan Sweden untuk melompat ke saingan Liga A.
“Serbia sekarang bersaing dengan Sepanyol, Denmark dan Switzerland. Selain itu, Kinoshi turut membantu Serbia layak ke pusingan akhir Piala Dunia FIFA 2020 di Qatar termasuk pengalaman menentang pasukan besar seperti Brazil, Switzerland dan Cameroon,” katanya.
“Saya berasa bangga dapat menyertai Selangor FC dan saya teruja untuk bekerjasama dengan pemain hebat di sini. Kami akan bersama-sama membina kekuatan pasukan ini semula, bukan sahaja soal taktikal tetapi juga semangat berpasukan untuk berjaya dalam musim ini,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Shahril Mokhtar berkata, pengalaman yang dimiliki Kinoshi merupakan kunci utama untuk Selangor FC memulakan langkah baharu.
“Saya mengalu-alukan kedatangan Kinoshi dalam keluarga Selangor FC. Kami yakin visinya akan membantu pasukan untuk mencipta kejayaan,” katanya. – UTUSAN










