ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC memutuskan untuk tidak menjual 100 peratus kepentingan saham kepada anak syarikat Kumpulan DSAT, Mahsuri Medical Centre.
Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik KDA FC di laman Facebook mereka, keputusan itu menjelaskan tiada sebarang perbincangan lanjut akan dibuat antara kedua-dua pihak.
Katanya, sepucuk surat sudah dikirimkan kepada pihak pengurusan Mahsuri Medical Centre bagi memaklumkan keputusan tersebut hari ini.
“Pihak KDA FC telah menghantar surat kepada Mahsuri Medical Centre pada hari ini, 11 November untuk memaklumkan bahawa kami memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.
“Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada Mahsuri Medical Centre dalam pembangunan perniagaan di masa hadapan,” kata kenyataan itu di sini, semalam.
Pada 29 Oktober lalu, sebuah syarikat yang pernah menyatakan hasrat untuk memiliki pasukan bola sepak KDA masih menaruh harapan agar pelawaan mereka diterima demi mengatasi kemelut kewangan dihadapi Sang Kenari.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, pihaknya sekali lagi terpanggil untuk memulihkan semula pasukan serta menarik kehadiran ribuan penyokong setia skuad Hijau Kuning kembali ke stadium.
Susulan itu, KDA FC mempelawa mana-mana pihak yang berminat memiliki kelab bola sepak itu untuk menghantar surat tunjuk minat atau surat tawaran secara rasmi kepada mereka.
Pemilik KDA, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.
Menurutnya, pihak kelab amat mengalu-alukan hasrat murni itu serta menghargai kesediaan dan keberanian untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC memandangkan perniagaan dalam industri sukan bola sepak terlalu mencabar. – UTUSAN










