PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberi perhatian kepada pemilihan jurulatih untuk skuad pembangunan bagi memastikan bakat muda dapat menimba ilmu berkualiti demi masa depan bola sepak negara.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, pemilihan jurulatih untuk pemain pembangunan tidak boleh dipandang mudah kerana ia memberi kesan kepada corak permainan yang akan dibawa ke peringkat seterusnya.
“Kita lihat negara-negara Eropah, jurulatih skuad muda mereka juga terdiri daripada bekas-bekas pemain yang ada pengalaman. Kalau jurulatih pergi kursus sahaja tidak cukup, pengalaman yang penting untuk bentuk pemain muda.
“Melalui pengalaman yang dimiliki seseorang jurulatih, ia beri mesej kepada pemain untuk bersaing dan menimba ilmu yang sepatutnya untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi,” kata Wan Jamak kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Wan Jamak berpendapat, pembangunan akar umbi di Malaysia agak ‘terhad’ untuk dikembangkan kerana kekurangan pilihan pemain muda berbakat yang hanya bergantung kepada Program Pembangunan Bolasepak Nasional (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) semata-mata.
“Selepas tengok skuad remaja gagal, kalau kita cakap tukar semua, boleh jamin ke peningkatan?. Yang penting kena cari dimana silapnya dan adakah kelab-kelab sedia ada membantu untuk bangunkan pasukan akar umbi?.
“Kelab lebih pentingkan pemain senior, jadi kena tengok kumpulan pemain yang diambil NFDP dan AMD. Pilihan itu terhad. Selain itu, untuk pemain dari negeri semuanya hadir melalui majlis sukan sekolah sahaja” katanya.
Dalam pada itu kata Wan Jamak, program pembangunan sewajarnya bermula pada usia 10 hingga 12 tahun untuk mengasah bakat pemain untuk menjadi betul-betul berkualiti sebelum bakat itu di bawa ke peringkat seterusnya.
“Kalau lihat pemain Bawah 16 dan 17 tahun, kalau tidak pandai lihat kedudukan, tidak tahu masa untuk kawal bola dan tidak tahu tukar arah permainan, memang sukar kerana kita terpaksa mengundur ke belakang untuk ajar semula,” katanya. – UTUSAN










