PETALING JAYA: Hukuman gantung perlawanan dan denda menanti bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC Tommy Mawat Bada susulan pergaduhan tercetus ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Ahad lalu.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menjelaskan jika berlaku insiden seperti ini, denda dan gantung perlawanan antara hukuman menanti pemain-pemain yang terlibat.
Katanya, walaupun mereka terlepas hukuman dalam padang selepas tidak dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali namun FAM berhak untuk mengambil tindakan selepas menerima laporan.
“Kalau ikutkan kes-kes sebelum ini,hukuman minimum sekurang-kurangnya adalah gantung satu perlawanan dan denda. Kes ini akan dibawa dalam Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum hukuman dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam perkembangan sama, Kamarudin berpendapat Arif Aiman yang ketika ini menyertai kem latihan skuad kebangsaan sewajarnya dilayangkan kad merah selepas didapati menumbuk Tommy Mawat ketika insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu.
“Memang nampak ada tumbukan daripada pemain nombor 42 JDT (Arif Aiman). Dengan ringkasnya, kad merah perlu dilayangkan kepada dia,”jelasnya.
Berdasarkan semakan kes terdahulu dalam Liga Malaysia (Liga M), penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana melepaskan tumbukan ke kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada 2022.
Selain itu, pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris yang menumbuk muka pemain Terengganu FC (TFC), Issey Farran Nakajima pada 2017 turut dilayangkan kad merah dan digantung empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Terdahulu, badan induk itu memandang serius insiden perbalahan antara Arif Aiman dan Tommy Mawat dengan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram menjelaskan mereka tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun hanya dilayangkan kad kuning oleh Razlan.
Bagaimanapun, pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Ismail menegaskan pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan juga Tommy Mawat Bada selepas didapati bergaduh pada aksi terbabit.
Malah, Tunku Mahkota Ismail berpandangan Perak FC sepatutnya diberikan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pertahanan, Feroz Baharudin ke atas pemain Perak FC, Clayton Silveira pada minit ke-37. – UTUSAN











