Hamidin tidak pertahan jawatan Presiden FAM?

Hamidin tidak pertahan jawatan Presiden FAM?

HAMIDIN MOHD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipercayai tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai orang No.1 dalam badan induk bola sepak negara pada penggal akan datang.

Susulan itu, beberapa nama mula ‘dibisik’ sebagai calon difikirkan sesuai menduduki kerusi tersebut dan antaranya adalah Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub.

Nama beliau kini bertiup kencang dan dikaitkan bakal menggantikan Hamidin yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada Kongres FAM awal tahun depan.

Menurut sumber dalaman, nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan FA, termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA), Ahad lalu.

“Dalam pertemuan itu, 15 wakil daripada ahli gabungan ada hadir dalam satu pertemuan tertutup dan perkara dibincangkan pasal agenda bola sepak negara.

“Paling penting bincang pasal calon Presiden FAM. Ada mencadangkan nama Datuk Joehari, dan masing-masing dalam pertemuan itu dimaklumkan mengenai hal itu.

“Tapi dengarnya ada yang (FA) tidak memberi kata putus sama ada setuju atau tidak,” kata sumber itu.

Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk penggal 2021-2025 bakal berakhir selewat-lewatnya awal tahun depan dengan satu pemilihan perlu diadakan untuk mencari barisan Exco baru.

Joehari adalah Naib Presiden FAM bagi penggal ini dengan beliau diberi tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Status FAM.

Terdahulu, nama bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dikaitkan untuk menggantikan Hamidin, namun Khairy menolak dengan mahu memberi tumpuan kepada perkara lain.

Pada pemilihan lalu, Hamidin berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57 lalu.

Ia menjadi penggal kedua buat Hamidin selepas mula dilantik menduduki kerusi panas itu pada Julai 2018, menggantikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN