PETALING JAYA: Aspek gaji jurulatih skuad pembangunan di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) perlu dikaji semula bagi menarik minat jurulatih berkualiti mengisi jawatan berkenaan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, aspek gaji yang rendah berkemungkinan turut menjadi faktor jurulatih yang berkualiti dan kaya pengalaman tidak berminat untuk membangunkan skuad muda pada ketika ini.
“Berkenaan gaji, kadang-kadang kedudukan dan tahap itu tidak seimbang, tetapi kita tahu gaji jurulatih pasukan pembangunan ini berapa sangat, sebab itu jurulatih yang bagus tidak minat bimbing pasukan akademi.
“Jika gaji tinggi saya percaya kita mampu tarik minat jurulatih terbaik yang ada di Malaysia. Sekarang ramai jurulatih ada Lesen Pro A yang tiada pasukan, tetapi setakat RM2,000 hingga RM3,000 takkan mereka mahu pergi ke akademi.
“Kalau mahukan pemain yang bagus, kita kena lantik jurulatih yang bagus. Kena setimpal macam ungkapan ‘you pay peanuts, you get monkeys’ atau jika majikan membayar gaji rendah, mereka tidak boleh harapkan untuk mencari kakitangan yang baik.
“Sekiranya gaji yang dibayar kepada jurulatih itu setimpal, mereka juga tiada alasan untuk berikan komitmen yang terbaik bagi melahirkan pemain yang berkualiti seperti yang diharapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Pekan berkata, aspek pengalaman perlu diberikan keutamaan dalam pemilihan jurulatih skuad pembangunan kerana ia merupakan satu bonus untuk mana-mana calon.
“Sebenarnya kalau bekas pemain yang bermain di level tinggi dan ada lesen kejurulatihan sudah pastinya memberi nilai tambah kepada seseorang jurulatih, itu yang kena lihat tetapi tertakluk kepada penilaian.
“Jurulatih yang tidak bermain di level tinggi bukan tidak bagus, tetapi bekas pemain yang ada lesen ini, mereka lebih memahami dan boleh serapkan dengan konsep kejurulatihan kepada pemain,” katanya. – UTUSAN










