PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow tidak bimbang jika masih belum mampu menewaskan pencabar yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia kerana dia percaya dengan proses yang sedang dilaluinya pada ketika ini.
Anak jati Kuala Lumpur yang kini menghuni ranking No. 14 dunia dan berada di dalam program Fast Track Road To Gold (RTG) itu berkata, dia masih belum berada pada tahap untuk menekan butang panik dalam setiap kekalahan yang menimpanya dan apa yang perlu dilakukan ialah bermula semula sehingga beroleh kejayaan yang diingini.
“Apa yang penting jangan panik, walaupun kalah dengan pemain yang berada dalam ranking lima terbaik dunia, saya percaya yang saya hanya perlu bermula semula dan bekerja keras sekali lagi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir Piala Skuasy Malaysia ACE di pusat membeli-belah The Curve, dekat sini, kelmarin.
Jaguh perseorangan lelaki No. 1 negara itu membenam wakil Mesir yang juga pemain No. 11 dunia, Youssef Soliman 11-7, 11-7, 11-7 dan sekali gus dinobatkan selaku juara di hadapan penyokong sendiri.
Selepas Piala Skuasy Malaysia ACE, pemain berusia 26 tahun itu akan berkunjung ke negara Temasek bagi menyertai Terbuka Singapura yang bermula, hari ini.
Sementara itu, pemain No. 9 dunia, S. Sivasangari yang tewas kepada bintang remaja Mesir, Amina Orfi pada final Malaysia ACE 11-8, 9-11, 10-12, 11-8, 6-11 juga sependapat dengan Eain Yow bahawa dia perlu bermula semula selepas tumpas.
“Saya akan ambil masa untuk bermula semula selepas kekalahan ini, ranking kami juga rapat, Amina pemain No. 10 dunia, saya tidak nafikan sedikit tertekan bermain di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Anak jati Sungai Petani, Kedah itu yang mendapat bye pada pusingan awal di Terbuka Singapura bakal berdepan sama ada rakan senegara, Aifa Azman atau Alicia Mead dari England pada pusingan kedua.
Seorang lagi wakil Malaysia yang turut beraksi adalah Aira Azman yang akan menentang pemain Mesir, Kenzy Azman pada pusingan pertama. – UTUSAN










