KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih emas pada acara final 3 meter (m) papan anjal seirama wanita di Terbuka Malaysia 2024 semalam, telah menunjukkan petanda positif kepada ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri untuk bergandingan dengan Ong Ker Ying.
Penerjun berusia 25 tahun itu kali pertama berpasangan dengan Ker Ying pada acara berkenaan berkata, dia mahu bersama gandingannya itu pada masa akan datang dan berusaha untuk mencari keserasian antara satu sama lain.
“Ia satu perkara yang positif melakukan acara seirama ini. Hal ini kerana, kami tahu sebelum ini kami kurang yakin mahu menyertai acara ini kerana Ker Ying baharu pulih daripada kecederaan.
“Bagaimanapun, kami mampu untuk bergandingan bersama untuk pertama kali. Berkemungkinan pada masa akan datang kami akan tampil lebih baik dan pandai mencari keserasian dalam kejohanan,” kata Dhabitah kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam.
Semalam, Dhabitah-Ker Ying muncul juara selepas mengutip mata 218.82 mengatasi wakil Hong Kong, Ka Sin Leung-Ziyi Wang (206.40 mata) manakala pingat gangsa menjadi milik pasangan Filipina, Ariana Hannah Drake-Rose Ann Ocmer dengan 153.39 mata.
Sementara itu, Ker Ying memberitahu, dia banyak menimba ilmu serta pengalaman sejak berlatih dengan pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu.
Menurutnya, dia mempelajari perkara yang besar daripada seniornya itu sekali gus mampu untuk menjadi terbaik sepertinya pada kejohanan akan datang.
“Saya banyak menerima perkara yang positif ketika berlatih bersamanya. Saya rasa itu perkara yang paling penting saya dapat pelajari dari Dhabitah,” kata Ker Ying. – UTUSAN










