ISKANDAR PUTERI: Pengendali Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Wan Mustaffa Wan Ismail berharap ura-ura bahawa kelab itu akan dijual dengan nilai RM3.5 juta dapat direalisasikan.
Akuinya, terdapat beberapa pihak yang menyatakan minat untuk membeli kelab tersebut sejak tahun lalu apabila layak ke Liga Super dan beberapa proses sudah dilaksanakan untuk mengambil alih kelab tersebut.
“Namun, hasrat itu tidak kesampaian dan kali ini cakap-cakap kedengaran lagi. Saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi kenyataan, cuma berharap jika ada yang berminat, biarlah dilakukan sebaiknya.
“Jangan pula bila sudah diambil alih dan memegang jawatan, lupa tugas hakiki. Pemain harus diberi keutamaan dari segi latihan dan fasiliti yang lengkap selain bayaran gaji yang setimpal, malah perlu dibayar tepat pada masanya,” katanya.
Wan Mustaffa berharap pihak yang berkenaan menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh, termasuk cara menguruskan kelab yang sentiasa mengutamakan kebajikan pemain serta aspek kewangan dan pentadbiran.
“Pemain yang ada dalam kelab merupakan nadi utama sesebuah kelab kerana tanpa pemain, maka tiada pegawai dan jurulatih dalam kelab,” tambahnya.
Mengulas kekalahan 0-3 kepada JDT, Wan Mustaffa optimis barisan pemain yang dihantui dengan isu di luar padang tetap bersikap profesional apabila memberi persembahan terbaik.
Walaupun tewas, beliau percaya peluang masih ada bagi skuad kendaliannya itu kembali bangkit pada aksi pusingan kedua pada 30 November ini.
“Pemain mempamerkan aksi yang baik dan mengikut arahan taktikal, cumanya terdapat jurang antara kedua-dua pasukan, mereka berada satu peringkat yang tinggi, manakala kami tidak cukup latihan,” katanya.
Ditanya sama ada faktor kewangan yang menjadi punca aksi di tempat sendiri diadakan di tempat lawan, jelasnya, banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan tersebut dan kelab amat berterima kasih dengan kerjasama diberikan pasukan JDT. – UTUSAN










