JOHOR BAHRU: Tewas dalam dua perlawanan pertama bukan penamat buat ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, I. Vikneswaran yang masih optimis skuadnya mampu memperbaiki kedudukan pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2024.
Vikneswaran berkata, Young Tigers mampu mencipta kejutan apabila bertemu juara tiga kali itu dia pada aksi ketiga kejohanan, malam ini.
Walaupun atas kertas untuk mencipta kemenangan tampak sukar, Vikneswaran tidak menganggap sesuatu yang mustahil bagi anak buahnya menundukkan India yang menghuni kedudukan pertama setelah merekodkan dua kemenangan.
“India bermula dengan baik apabila menang dua perlawanan dengan aksi yang meyakinkan, namun itu tidak bermakna mereka akan menang semua perlawanan.
“Pasukan tercorot (Malaysia) tidak semestinya akan terus dirundung malang. Kita perlu rebut peluang ini untuk membuktikan kemampuan mampu pamer kebangkitan dan beraksi dalam tekanan, itu amat penting,” katanya.
Vikneswaran berkata, pemain perlu mengambil pengajaran apabila tewas 1-4 kepada Jepun supaya tidak melakukan kesilapan mudah dan memanfaatkan peluang terhidang dengan baik.
“Kita sepatutnya menang perlawanan itu, tetapi apabila peluang yang kita dapat itu tidak diterjemahkan, sudah tentu kita hukum diri sendiri.
“Pemain perlu bijak mengawal permainan apabila sudah mendahului dan tidak melakukan kesilapan mudah sehingga membuka ruang kepada Jepun mempamerkan kebangkitan, itu tidak boleh berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih India, Sreejesh Parattu Raveendran mahu barisan pemain mengekalkan rentak kemenangan dan tidak memandang rendah Young Tigers yang cuba bangkit pada pertembungan tersebut.
“Selepas menewaskan Jepun 4-2 dan Britain 6-4, kami akan berdepan satu lagi misi sukar bertemu pasukan tuan rumah. Walaupun kini mereka di kedudukan tercorot, itu tak bermakna mereka mudah dijinakkan,” katanya. – UTUSAN










