LONDON: Dominic Solanke mengakui tidak pernah berputus asa untuk kembali menyarung jersi England sekali lagi selepas penampilan sulungnya bersama The Three Lions pada 2017.
Dia dimasukkan sebagai pemain gantian sewaktu menentang Brazil pada tahun 2017 dan kini pemain berusia 27 tahun itu berjaya menarik minat pengurus sementara Lee Carsley selepas persembahan bagus pada awal musim bersama Tottenham Hotspur.
England akan berdepan Greece di Wembley bagi aksi Liga Negara-Negara awal pagi esok sebelum menuju ke Helsinki untuk berdepan Finland tiga hari kemudian.
Solanke yang menyertai Spurs dari Bournemouth Ogos lalu, berkata penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa adalah menentang Brazil dan ia salah satu daripada pencapaian terhebat dalam kariernya.
“Sejak muda dan anda hanya bermain bola sepak, jelas sekali anda mahu melakukannya tetapi mewakili negara anda ia berada di satu tahap lain.
“Saya bekerja keras untuk kembali ke detik ini. Jelas sekali saya melakukan penampilan sulung lama dulu. Ia satu perjalanan untuk kembali ke sini, ia satu perasaan hebat,” kata Solanke.
Bekas pemain Liverpool itu berkata dia sentiasa percaya peluang untuk dirinya kembali mewakili negaranya akan tiba dan apa perlu dilakukan hanyalah memberi aksi terbaik bersama kelab diwakili.
“Saya tidak fikir ia sudah berakhir. Ia satu hakikat untuk terus melakukan apa yang saya lakukan dan kekal beraksi baik serta menjaringkan gol.
“Saya sering percaya saya akan kembali ke sini. Saya bersyukur untuk kembali ke sini dan harapnya saya boleh kekal lama di sini,” ujarnya.
Solanke telah meledak tiga gol dalam lapan perlawanan musim ini, menegaskan dia tidak pernah berasa iri hati atau kecewa terhadap pemain lain yang mendapat lebih banyak peluang beraksi untuk England. – AFP/UTUSAN










