LONDON: Bos Liverpool, Arne Slot yakin Erik Ten Hag akan bangkit bersama ‘kelab besar’ selepas ini walaupun disingkirkan bekas pasukan lamanya Manchester United.
Ten Hag sebelum ini dipecat kelmarin selepas dua tahun bersama United, meninggalkan kelab itu di tangga ke-14 liga selepas tewas 2-1 kepada West Ham minggu lalu.
Slot sebelum itu meletakkan tekanan kepada rakan senegaranya itu apabila mencatat kemenangan 3-0 di Old Trafford, September lalu.
Namun, di sebalik permusuhan ketat antara Liverpool dan United, bos The Reds itu masih berasa simpati terhadap perkara yang menimpa Ten Hag dalam sidang akhbar pra perlawanan Piala liga pasukannya menentang Brighton.
“Dia adalah jurulatih dari Belanda dan ia memberi kesan kepada saya. Kami semua dalam posisi jawatan ini dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Saya hanya mengenalinya sedikit dan saya tahu bagaimana dia bekerja untuk pasukan. YA, saya simpati tetapi kita juga tahu bagaimana bagusnya dia semasa di Ajax dengan memenangi dua trofi.
“Saya pasti dia akan bangkit bersama kelab besar selepas ini,” kata Slot. – AFP/UTUSAN










