PETALING JAYA: Pertembungan Selangor FC(SFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini dijangka sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki skrip berbeza bersaing di peringkat Asia.
Gergasi Merah tentunya mahu meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri selepas mengejutkan kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Rabu lalu.
Sementara skuad Harimau Selatan pula memburu penawar duka apabila tunduk 1-3 kepada Gwangju FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Berdasarkan rekod pertemuan, ia lebih memihak JDT selepas kali terakhir Selangor berjaya memenangi perlawanan adalah pada 2017, namun sejak itu Red Giants terus menjadi ‘mangsa’ skuad Harimau Selatan.
Pertembungan kali terakhir kedua-duanya pada final Piala FA yang menyaksikan JDT membelasah Selangor 6-1.
Enggan memikirkan rekod lalu, pengendali Selangor Nidzam Jamil berjanji akan menurunkan barisan terbaik untuk berdepan JDT dan mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Merah Kuning.
“Sudah pasti kita akan beri yang terbaik (bertemu JDT) minggu ini. Pada aksi sebelum ini, pasukan beraksi ikut taktikal pelan yang ditetapkan tetapi masih ada beberapa ruang yang boleh diperbaiki.
“Saya gembira dengan prestasi pemain muda dan tempatan. Saya harap keputusan seperti ini (menang) dapat diteruskan ada perlawanan seterusnya,” katanya yang bakal kehilangan tujuh tonggak akibat kecederaan.
Senarai pemain yang cedera adalah Quentin Cheng, Ahmad Zikri Khalili; Safuwan Baharudin; Mukhairi Ajmal Mahadi; Alvin Fortes;Alex Agyarkwa dan Noor Al-Rawabdeh yang terpaksa berehat sembilan bulan susulan kecederaan lutut anterior cruciate ligament(ACL).
Sementara itu, pengendali JDT Hector Bodoglio tidak melihat kekalahan di ACLE sebagai penamat, sebaliknya beliau dan anak buahnya akan bangkit pada perlawanan seterusnya.
“Lawan kami adalah pasukan yang sangat bagus. Inilah ACLE, semua pasukan yang kami hadapi adalah sukar.
“Kami akan berkembang menjadi pasukan yang lebih baik dan akan fokus pada permainan taktikal kami dan menanti aksi yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN










