Prestasi Shah Firdaus semakin matang 

Prestasi Shah Firdaus semakin matang 

MUHAMMAD Shah Firdaus (kanan) bersaing dengan pelumba Jepun, Kaiya Ota dalam aksi separuh akhir keirin Sukan Olimpik Paris 2024. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya percaya Shah baru sahaja memasuki fasa kemuncaknya. Dengan pengalaman yang semakin luas di pentas antarabangsa, prestasi Shah semakin mengagumkan, dan kita boleh menjangkakan banyak lagi kejayaan dalam masa terdekat ini,”

Itu pandangan ketua jurulatih skuad basikal trek negara, John Beasley tentang kemampuan Muhammad Shah Firdaus yang disandarkan tugas besar selepas Datuk Azizulhasni Awang.

Shah Firdaus bila ditanya berkata, dia enggan menoleh kebelakang, sebaliknya bersiap sedia untuk mengerah kudrat dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024, di Ballerup, Denmark, yang bermula hari ini.

Meskipun masih belum berada di puncak tahap prestasinya susulan baharu pulih dari kecederaan bahu dan belakangnya, pelumba berusia 28 tahun itu tekad untuk memberikan persembahan terbaiknya pada kejohanan terbabit.

“Sejujurnya, saya masih belum berada di tahap tertinggi, namun saya akan memberikan segala-galanya.

“Kami tahu beberapa nama pelumba besar tidak akan bertanding pada edisi kali ini, namun ini tetap Kejohanan Dunia dan tahap pertandingan masih tinggi,” katanya.

Shah Firdaus bersama adiknya Muhammad Ridwan Sahrom serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi akan melengkapkan pasukan Malaysia ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang bermula semalam hingga 20 Oktober ini.

Sementara itu, Beasley mengakui bahawa Shah Firdaus sudah menunjukkan prestasi yang semakin matang selepas melalui beberapa siri cabaran, termasuk kecederaan, Shah bangkit dengan semangat juang yang tidak pernah luntur. 

Menurutnya, beliau yakin dengan keberadaan di puncak fizikal dan mental anak buahnya itu, dalam tempoh beberapa tahun akan datang akan menjadi detik kegemilangannya, dengan kemungkinan menyaksikan Shah Firdaus sebagai pencabar pingat konsisten di peringkat dunia.

“Saya percaya Shah baru sahaja memasuki fasa kemuncaknya. Dengan pengalaman yang semakin luas di pentas antarabangsa, prestasi Shah semakin mengagumkan, dan kita boleh menjangkakan banyak lagi kejayaan dalam masa terdekat ini,” kata Beasley.

Shah Firdaus dan Ridwan akan memulakan cabaran menerusi acara keirin pada hari ini manakala Izzah dan Amira akan bertanding pada acara pecut esok.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN