PETALING JAYA: Ketiadaan ikon basikal trek kebangsaan Datuk Azizulhasni Awang telah membuka peluang kepada generasi baharu pelumba berbasikal trek seperti Muhammad Ridwan Sahrom untuk melakar kejayaaan di arena antarabangsa.
Ridwan yang merupakan adik kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom itu mahu mencipta ‘impak’ pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Ballerup, Denmark yang akan bermula hari ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu berkata, dia hadir ke Denmark dengan misi baharu iaitu untuk menyasarkan mara ke final keirin pada kejohanan terbabit.
“Jika semuanya berjalan dengan lancar, saya akan menyasarkan pingat. Saya mempunyai misi sendiri di sana. Latihan bersama pasukan Malaysia sebagai rakan regu sebelum Sukan Olimpik Paris 2024 sudah meningkatkan prestasi saya.
“Kini, saya sudah berada di tahap yang tertinggi dan sudah rasa lebih yakin menuju ke Kejohanan Dunia.
“Shah dan saya mahu memberi impak kali ini dan jika kami berdua mara ke final, kami akan menyokong satu sama lain,” kata Ridwan yang turut akan beraksi acara pecut individu.
Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ini akan menjadi penampilan ketiga untuk pelumba kelahiran Muar itu selepas beraksi dalam pecut berpasukan di Perancis (2022) dan keirin di Scotland (2023).
Selain Ridwan, Shah Firdaus, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi turut bersaing dalam kejohanan berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 20 Oktober ini.
Untuk rekod, Azizulhasni menjadi wakil Malaysia pertama yang merangkul gelaran dunia dalam acara keirin pada edisi 2017 di Hong Kong. – UTUSAN










