Pasukan terbaik tanpa pemain utama di Piala AFF 

Pasukan terbaik tanpa pemain utama di Piala AFF 

SKUAD Harimau Malaya akan berdepan Loas pada 14 November ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente pastinya sudah memahami senario pemilihan pemain yang bakal dibentuk bagi mengharungi Piala AFF 2024, dijadualkan berlangsung pada 8 Disember nanti.

Beberapa edisi Piala AFF sebelum ini juga telah menunjukkan kesukaran ketua jurulatih kebangsaan untuk mengumpul barisan pemain utama susulan kejohanan berkenaan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pemain-pemain atau kelab yang menolak panggilan berkenaan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa berkata Pau Marti tentunya telah mengetahui tentang kesukaran mendapatkan pelepasan pemain terbaik daripada kelab utama Liga Malaysia (Liga M) susulan Piala AFF berlangsung di luar kalendar FIFA.

Jelasnya, pengendali dari Sepanyol itu juga pernah melalui situasi sama ketika menjadi pembantu Kim Pan Gon ketika Malaysia terpaksa membawa ‘skuad kedua’ ke kejohanan berprestij Asia Tenggara (ASEAN) tersebut pada edisi lalu yang menyaksikan pasukan kebangsaan mara sehingga separuh akhir.

“Kalau melihat pada Piala AFF tahun lepas, boleh kita katakan Kim Pan Gon membawa skuad kedua kerana ada pemain yang tidak mendapat pelepasan kelab kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar FIFA.

“Namun ia tidak mengecewakan peminat apabila pasukan ini berjaya mara sehingga separuh akhir walaupun tanpa pemain utama.

“FAM juga tiada kuasa untuk hukum pemain atau kelab yang menolak untuk sertai skuad kebangsaan di Piala AFF kerana kejohanan berlangsung di luar kalendar FIFA. Jadi saya rasa Pau Marti tentu sudah ada gambaran barisan pemain terbaik yang bakal dibentuknya walaupun tanpa pemain utama,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, FAM menerusi Pengarah Teknikalnya, Scott O’Donell memberi jaminan akan menghantar skuad terbaik untuk membawa cabaran negara di Piala AFF walaupun terdapat cadangan menghantar barisan skuad Harimau Malaya kedua ataupun pasukan bawah 23 (B-23) 

O’Donell menegaskan pasukan kebangsaan kendalian Pau Marti masih memiliki kelompok pemain yang besar untuk dipertaruhkan walaupun kemungkinan skuad ke Piala AFF tanpa pemain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang beraksi dalam kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Semua sedia maklum bahawa kejohanan Piala AFF tidak menawarkan mata ranking FIFA dan ia hanya kejohanan tahunan dipertandingkan oleh pasukan kebangsaan Asia Tenggara, jadi ia memberi ‘lesen besar’ untuk pasukan Liga M tidak melepaskan pemain mereka.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, berkata peluang sebegini harus direbut oleh barisan-barisan pemain yang bakal dipanggil kelak untuk membarisi skuad kebangsaan ke Piala AFF.

“Tidak kira apa sahaja kejohanan tetapi apabila menyarung jersi kebangsaan semua pemain harus menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk mengharumkan nama Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN