Pandelela masih aset skuad terjun  

Pandelela masih aset skuad terjun  

Pandelela Rinong menunjukkan pingat emas dimenanginya pada Piala Dunia FINA di Jepun pada 2021. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad terjun masih menagih sentuhan Datuk Pandelela Rinong untuk membawa cabaran negara di arena antarabangsa walaupun atlet itu diakui mengalami penurunan prestasi sejak gagal melayakkan diri ke Temasya Olimpik Paris sebelum  ini. 

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, atlet yang pernah meraih pingat perak di Temasya Rio 2016 dan gangsa pada Sukan Olimpik London 2012 itu serta emas Piala Dunia FINA 2021 itu masih merupakan aset buat skuad terjun sementelah bakatnya masih sukar dicabar mana-mana penerjun pelapis ketika ini.

Katanya, pada masa ini jurang antara penerjun senior dan junior masih jauh sedangkan deretan kejohanan besar termasuk kejohanan dunia akan menanti mereka pada tahun depan. 

“Pandelela telah memberi sumbangan besar kepada sukan terjun negara dan walaupun ada sedikit kemerosotan prestasi, pengalaman serta kepemimpinannya di dalam pasukan masih amat diperlukan.

“Kita tidak boleh mengetepikan Pandelela walaupun usianya mencecah 31 tahun begitu sahaja kerana dia memiliki faktor yang tidak ada pada atlet muda,” ujar Bryan.

Dalam pada itu, Bryan turut memberitahu, seorang lagi atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri pada pemerhatiannya masih menunjukkan konsistensi dalam persembahan walaupun pulang tangan kosong semasa menyertai Sukan Olimpik Paris selepas layak bukan secara merit..

“Dhabitah terus menjadi tonggak kepada pasukan wanita dengan prestasi yang yang konsisten ditunjukkan di peringkat antarabangsa. 

“Dia adalah atlet yang sangat konsisten, dan dia menunjukkan peningkatan setiap kali beraksi. Kita melihatnya sebagai contoh terbaik kepada penerjun muda,” tambahnya.

Bagaimanapun, Bryan turut mengakui jurang antara penerjun senior dan pelapis masih agak jauh. 

“Kami sedang berusaha untuk membangunkan lebih ramai penerjun muda, namun mereka masih memerlukan masa untuk mencapai tahap yang ditunjukkan oleh Pandelela dan Dhabitah.

“Program pembangunan kami sedang giat dilaksanakan, dan kami optimis akan ada muka baharu yang mampu menggalas cabaran negara di masa depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai barisan penerjun lelaki, Bryan menyatakan bahawa pasukan lelaki juga sedang melalui fasa transisi.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN