‘Nak berjuang sepenuh hati, tapi fikiran terganggu’ 

Dilema pemain KDA: Nak berjuang sepenuh hati, tapi fikiran terganggu isu gaji

PEMAIN Kedah menjalani latihan di Alor Setar, semalam sebagai persiapan menentang PDRM dalam Liga Super, esok. - IHSAN KDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Sebahagian pemikiran kami mahu berjuang sepenuh hati untuk pasukan ini, tapi separuh lagi jiwa kami persoal mengapa perlu berbuat demikian dalam keadaan tak dapat gaji selama tujuh bulan.”

Demikian luahan seorang pemain Kedah Darul Aman (KDA) yang namanya enggan disiarkan tentang situasi semasa kelab bola sepak itu yang masih berdepan masalah kewangan meruncing.

“Itu dilema yang dihadapi kami ketika ini. Sebagai pemain bola sepak, kami sentiasa mahu melakukan yang terbaik tetapi hati dan fikiran kami sering ‘terganggu’ untuk melakukan perkara yang sepatutnya dilaksanakan sebagai seorang pemain bola sepak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, melihat kepada barisan pemain dan keupayaan pasukan secara keseluruhan di awal musim, tiada keraguan bahawa KDA mampu untuk berada di kelompok teratas liga sekiranya segala urusan berjalan lancar. 

“Penyokong sentiasa mengharapkan yang terbaik tetapi selama ini mereka tidak tahu masalah dihadapi hinggalah segalanya terbongkar kebelakangan ini. Saya berharap agar isu ini diselesaikan segera dan kami akan melakukan segala yang terdaya dalam keadaan serba kekurangan untuk terus berjuang demi kelab ini,” katanya. 

Dalam pada itu, sumber dalaman pasukan memaklumkan, mereka berharap pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dapat berlangsung segera bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meminta KDA menghubungi badan induk itu minggu lalu.

“Jadi, dalam keadaan sekarang, kami hanya bergantung harap kepada penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium esok agar sekurang-kurangnya dapat membantu mengisi kantung pasukan. Kami sekarang sudah sampai ke tahap berterus-terang begitu kerana sehingga kini masih tiada khabar ada pihak mahu membantu menyelesaikan isu gaji ini,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN