Malaysia tidak perlu tiru Indonesia  

Malaysia tidak perlu tiru Indonesia  

HARIMAU Malaya perlu mempunyai barisan pelapis yang berkualiti bermula di peringkat akar umbi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu meniru bulat-bulat pendekatan Indonesia dalam membangunkan bola sepak negara.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, meskipun Indonesia mencatat kejayaan di bawah pimpinan Erick Thohir apabila layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia tidak seharusnya mengambil langkah yang sama tanpa menilai keperluan sebenar.

“Apa yang dilakukan Indonesia, termasuk mengambil pemain warisan luar negara, memang berhasil untuk mereka. Namun, Malaysia perlu mempertimbangkan kemampuan sendiri sebelum mengikuti strategi tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pengambilan pemain warisan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

“Kita boleh ambil pemain warisan, tetapi pastikan mereka benar-benar memberi sumbangan dan mempunyai semangat Malaysia.Jangan hanya mengambil mereka untuk mengisi kekosongan dalam skuad,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pembangunan pemain tempatan perlu diberi keutamaan supaya bakat muda tidak terpinggir.

Dalam pada itu,beliau menyarankan agar Malaysia mengambil elemen positif daripada kejayaan Indonesia, terutamanya dalam pembangunan pemain muda, namun perlu disesuaikan dengan situasi bola sepak tempatan.

“Kita tidak perlu tiru bulat-bulat. Yang penting, kita ada strategi sendiri yang bersesuaian dengan keperluan bola sepak Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, pendekatan drastik yang dilakukan oleh Erick Thohir dengan membawa ramai  pemain warisan membarisi kesebelasan utama Indonesia  membuahkan hasil apabila berjaya membawa skuad Garuda itu ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN